
Menulis jurnal mampu mengubah cara otak kita melihat hidup dan menukar perspektif negatif kepada positif. Betul ke pernyataan ni? Dalam hidup yang serba pantas hari ini, ramai antara kita semakin terbeban dengan tekanan kerja, tanggungjawab keluarga, keletihan emosi dan tuntutan sosial. Kadang-kadang kita terasa seolah-olah hidup hanya penuh kekurangan — tidak cukup masa, tidak cukup tenaga, tidak cukup pencapaian, tidak cukup rehat dan macam-macam lagilah yang tidak cukup. Namun, ada satu amalan kecil yang mampu mengubah cara kita melihat dunia dan cara otak memproses pengalaman harian: menulis jurnal kesyukuran.
Kenapa saya menekankan tentang menulis mampu merubah otak kita untuk menukar perspektif? Adakah dapatan daripada mana-mana kajian menyatakan tentang kesahihan perkara ini? Ada pengalaman orang-orang tertentu ke yang boleh dijadikan sandaran?
Mungkin kelihatan terlalu mudah hanya dengan menulis perkara yang kita syukuri, kita sudah mengubah cara berfikir. Tetapi di sebalik amalan kecil menulis inilah terdapat perubahan biologi dan emosi yang sangat besar. Saya sendiri rasai perubahannya setelah lebih 4 tahun mengamalkan terapi menulis ini. Ia bukan datang sehari atau seminggu. Ia mengambil masa sekurangnya 66 hari. Terdapat kajian daripada UCLA, Harvard, Berkeley University, University of Utah, Universitas Brawiya Malang dan beberapa kajian klinikal luar menunjukkan sedikit masa perlu diambil untuk merubah cara otak, fikiran dan tabiat kita. Sedikit masa perlu diambil kerana kita sedang melatih otak, emosi dan tabiat kita untuk berubah kepada sesuatu yang sedikit sukar untuk berubah kerana telah sebati dengan hidup. Kesannya bukan berlaku dalam sehari, tetapi perlahan-lahan membentuk cara otak bekerja, sehingga akhirnya kita lebih cenderung melihat kebaikan daripada keburukan, lebih nampak peluang daripada masalah, lebih bersabar dan lebih menghargai kehidupan daripada mengeluh tentang kekurangan yang kononnya ada.
Otak Dibentuk oleh Apa yang Kita Fokuskan
Kajian neurosains menunjukkan bahawa otak manusia mempunyai keupayaan untuk berubah mengikut tabiat dan fokus kita. Proses ini dipanggil neuroplasticity. Apabila kita sentiasa memberi perhatian kepada sesuatu, sama ada emosi negatif atau positif — otak membina “laluan” atau corak baharu yang menjadi kebiasaan. Sebagai contoh, jika selalunya kita membaca al-Quran hanya 2 mukasurat sehari tetapi kita ingin merubah atau upgrade diri dengan membaca al-Quran 3 mukasurat sehari, secara tidak langsung kita menyuruh otak dan badan kita untuk fokus pada tabiat baru yang ingin diubah. Di sini, otak secara tidak langsung bersedia untuk merubah apa yang kita kehendaki.
Apabila kita sering mengeluh, mengkritik diri, atau membandingkan hidup dengan orang lain, otak akan menjadi lebih cekap memproses rasa tidak puas hati. Kita melatih diri untuk melihat banyak kekurangan berbanding kekuatan yang dimiliki. Jika ini tidak dibenteras, lama-kelamaan, otak mencari apa sahaja yang salah lebih cepat daripada apa yang betul.
Sebaliknya, apabila kita menulis jurnal kesyukuran, kita melatih otak untuk mencari perkara-perkara baik yang berlaku setiap hari. Pada mulanya mungkin sukar kerana otak atau fikiran kita belum biasa. Namun selepas beberapa minggu, aktiviti mencari perkara-perkara baik yang dirasai dan dinikmati berubah menjadi automatik. Kita akan mula perasan nikmat kecil yang selama ini kita tidak anggap penting atau abaikan. Sebagai contoh udara pagi yang segar, cuaca sejuk selepas hujan lebat, kopi panas cicah biskut gula, tawa anak-anak, pelukan pasangan, berjalan tanpa tongkat atau kemampuan menyelesaikan tugasan harian walaupun penat.

Menulis Berbanding Hanya Fikir
Ada perbezaan besar antara “berfikir tentang syukur” dan “menulis apa yang disyukuri”. Fikiran selalunya bergerak pantas, bercampur aduk, dan hilang begitu sahaja. Tetapi menulis memaksa kita berhenti sejenak, memberi perhatian, dan mengeluarkan apa yang difikir kepada bentuk penulisan dan rasa syukur. Apabila kita menulis:
-
kita menghidupkan memori
-
kita memproses emosi
-
kita menguatkan hubungan antara hati dan minda
- Kita menghargai apa yang diberikan Allah
- kita berusaha mengingati apa yang berlaku sepanjang hari yang memudahkan urusan hidup
Tulisan juga bersifat kekal. Apabila kita membuka kembali halaman lama dalam diari atau jurnal, kita menyaksikan sendiri bukti nyata bahawa hidup kita penuh rahmat, nikmat dan kabahagiaan walaupun pada hari-hari sukar. Ini secara tidak langsung, menjadi terapi emosi dan mental agar sentiasa tanam dalam diri bahawa setiap masa ada nikmat Allah yang dirasai, dinikmati dan dimiliki. Allah dalam firmannya dalam surah Ar-Rahman sentiasa menyuruh kita mengingati akan nikmat-nikmat yang dirasai jika hati tidak tenang, cemburu ataupun bersedih. Ingatlah akan nikmat-nikmat Allah seperti boleh bercakap, dapat melihat, langit yang indah, tumbuh-tumbuhan yang subur, laut dan sungai yang mengeluarkan makanan untuk manusia, barang perhiasan daripada bumi, ilmu sains dan astronomi serta wujudnya syurga dan neraka untuk Allah memberi pembalasan kepada orang-orang yang melakukan kebaikan semasa hidupnya.
Kesannya Terhadap Kesihatan Mental
Amalan jurnal kesyukuran secara konsisten terbukti:
-
mengurangkan stres dan kebimbangan
-
menguatkan rasa harga diri
-
membantu tidur lebih lena
-
meningkatkan mood positif
-
memberi motivasi untuk hidup dengan lebih sedar
- Belajar sentiasa bersangka baik pada Allah
- Menghalang fikiran negatif menguasai diri
Rasa syukur bukan semata-mata melihat apa yang kita ada, tetapi menyedari bahawa hidup ini masih layak dinikmati walaupun tidak sempurna. Selain itu, ia membantu memperbaiki nilai diri dengan mengurangkan perbandingan dengan orang lain. Selalunya, sikap inilah yang sering merosakkan diri, fikiran dan emosi kita.

Bagaimana Memulakan
Tidak perlu rumit. Tidak perlu ayat cantik atau karangan panjang. Yang penting ialah kejujuran, rasa terima kasih, dan tak perlu sempurna. Anda boleh mulakan dengan empat ayat setiap hari:
-
Hari ini saya bersyukur kerana …
-
Hari ini saya rasa gembira bila …
-
Alhamdulillah akan nikmat ….
- Syukur hari ini dapat….
Tulis ayat ringkas sebaris dua sahaja. Jika sukar pada awalnya, tidak mengapa. Tanda perubahan sedang berlaku di mana otak kita sedang belajar mencari kebaikan dan berfikiran positif. Semakin lama menulis, semakin mudah rasa syukur dan berterima kasih muncul, walaupun pada hari yang sibuk atau penuh cabaran (meski haritu stres tetaplah kita masih bernyawa dan lihat wajah keluarga tersayang). Untuk lebih mudah dan anda perlukan guide untuk menulis, anda boleh dapatkan Jurnal Kesyukuran Pelengkap Kegembiraan yang di dalamnya sudah tersedia setiap mukasurat ruangan untuk menulis perkara-perkara baik yang disyukuri dan dipelajari. Jurnal ini, anda boleh dapatkan di website Ekspresisyukur.com.

Apabila Kita Mula Nampak Dunia Secara Berbeza
Menulis jurnal kesyukuran bukan sekadar mencari perkara yang menggembirakan atau membahagiakan. Ia lebih kepada rasa terima kasih kepada Allah akan setiap pemberian-Nya yang memudahakn hidup sepanjang hari itu. Dan lebih fokus lagi, menulis jurnal kesyukuran ini membantu kita melihat kebaikan-kebaikan dalam perkara yang mencabar dan menyakitkan pada hari itu. Ia benar-benar mengubah cara otak kita melihat dan memaknakan hidup. Sebagai contoh:
-
“Saya masih bersyukur walaupun penat, kerana ini tanda saya berusaha untuk orang yang saya sayang.”
-
“Hari ini saya menangis, tetapi saya bersyukur kerana saya diberi peluang untuk melepaskan emosi dan merasa lebih ringan.”
Inilah saat di mana bukan kebahagiaan yang melahirkan rasa bersyukur tetapi rasa syukurlah yang melahirkan kebahagiaan bak kata Malik al-Mughis, seorang penulis dari negara Indonesia. Bukan kita hendak menolak kesedihan, kekecewaan atau rasa down tetapi kita kena tanamkan dalam diri bahawa setiap yang berlaku ada hikmah tersendiri yang Allah berikan. Allah mahu kita belajar ‘sesuatu’ daripada apa yang Dia berikan dengan yang kita tidak selesa atau suka.
Kesimpulan
Menulis jurnal kesyukuran bukan sekadar hobi, tetapi satu latihan membentuk atau mengubah cara otak memandang dunia. Ia tidak menghilangkan masalah hidup, tetapi ia menguatkan jiwa, emosi dan mental untuk berjalan melaluinya dengan hati yang lebih tenang, stabil, menghargai dan sedar. Amalan menulis ini tampak kecil, tetapi kuasanya sangat besar. Ia mengajarkan kita bahawa hidup tidak perlu sempurna untuk dihargai — ia hanya perlu disyukuri. Ingatlah firman Allah, “Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu.” (Surah Ibrahim 14:7)

