Berbaik sangka agar diri bahagia

Berbaik sangka atau berprasangka baik ini tidak mudah. Kita sebagai manusia biasa tahu akan hakikatnya dalam diri sendiri. Namun, untuk memiliki bahagia sudah semestinya ada sesuatu yang dipertaruhkan. Untuk rasa bahagia dan tenang berpanjangan, perkara yang perlu dipertaruhkan adalah minda kita yang sentiasa perlu berbaik sangka dan positif. Whatever happen, kita terus bersabar, sangka baik  dan fikir ada sebab Allah berikan ujian ini.

Ini saya kongsikan sedikit bab berbaik sangka agar diri bahagia yang ada dalam buku Jangan Bersedih. Harapnya, kita semua dapat memiliki perasaan baik sangka yang mahal ini.

Seseorang yang sudah biasa berburuk sangka kepada orang lain pasti hidupnya dipenuhi penyesalan, keresahan dan kegelisahan. Hatinya tidak tenang kononnya rakannya berkhianat, pasangan hidupnya tidak setia. Mereka pada pandangannya adalah tertuduh dan bersekongkol mensengsarakan hidupnya. Dia hanya percaya kepada dirinya dan tidak mahu percaya kepada orang lain. Pada pandangannya, orang lain semuanya tidak betul dan tidak baik. Ini adalah sikap yang bodoh. Nabi s.a.w melarang kita daripada berburuk sangka dan baginda bersabda, “Jauhilah prasangka kerana sesungguhnya prasangka utu merupakan berita yang paling bohong.” (HR Bukhari dan Muslim)

Allah menyuruh kita supaya menjauhi banyak prasangka. Allah berfirman maksudnya, “Hai orang-orang yang beriman!. Jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa.” (Surah al-Hujurat 49: 12)

Orang yang berakal sihat pasti menjaga diri untuk tidak berburuk sangka kepada orang lain yang belum tentu memusuhinya dalam masalah agama atau urusan dunia. Sebab, di situ tersimpan ketenangan baginya daripada bebanan dan dosa menuduh orang lain tanpa alasan yang benar. Seorang penyair berkata:

Orang yang berburuk sangka tidak dapat beristirehat
Kerana kegelisahan yang berpanjangan
Sedikit sekali wajah yang murung
Tanpa buruk sangka terdapat tempat yang lapang
Siapa yang diberi keringan oleh Allah
Maka bertiup angin dari segala penjuru kepadanya
Tidak seorangpun yang binasa kerana sikap lapang dada
Jarang sekali orang yang bakhil itu menjadi kaya. 

Lihatlah prasangka baik seorang ulama salaf terhadap saudara-saudaranya. Isteri Talhah bin Abdullah bin Auf  pernah berkata kepada suaminya, “Sahabat-sahabatmu itu sungguh suka menyakitimu.”

Talhah menjawab, “Jangan berkata begitu terhadap mereka. Apa yang engkau telah melihat kejahatan mereka.” Isterinya berkata, Sungguh, demi Allah, ini sudah jelas dan nyata.” Talhah menjawan, “Apa itu?”

Isterinya memberitahu, “Apabila kamu memperoleh kekayaan, mereka memerlukanmu. Tetapi apabila kamu jatuh miskin, mereka menjauhimu.” Talhah berkata, “Kamu hanya mampu menggambarkan mereka dengan akhlak mulia.” Isterinya bertanya, “Apa itu yang disebut akhlak mulia?”

Talhah menjawab, “Mereka mendatangi kita ketika mereka sedang kuat dan mereka menjauhi kita ketika mereka sedang lemah. Jadi, berbaik sangkalah, pasti kamu akan bahagia…”

Rujukan: Madar al-Wathan. 2013. Jangan Bersedih: Kebahagiaan pasti bersammu! Al-Hidayah Publication. Kuala Lumpur.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *