
Rasanya semua orang memiliki rasa takut. Saya sendiri bertahun hidup dalam ketakutan. Syukur, saya diketemukan dengan buku yang membantu dan mengajar menghapuskan rasa takut dan membina kembali keyakinan step-by-step. Ia tidak mudah sebab bertahun kita memupuknya menjadi tabiat. Tapi, pada saya, selagi ada kemahuan untuk berubah dan memperbaiki diri juga ada jawapan khusus bila Allah tanya nanti, saya akan usaha semampu boleh untuk berubah. Buku yang saya maksudkan ini adalah karya David J. Schwartz bertajuk The Magic of Thinking Big.
Buku motivasi dan pembangunan diri yang klasik ini diterbitkan seawal tahun 1959. Buku ini banyak mengandungi idea-idea yang relevan yang bagus untuk dipraktikkan dari dahulu hingga sekarang, Tak kisah kita di era mana, buku ini sangat perlu dibaca oleh anda yang ingin mengembalikan keyakinan, semangat, beri idea, cara bagaimana hendak ubah kegagalan menjadi kejayaan dan menetapkan marlamat bagi pembangunan diri. Buku The Magic of Thinking Big ini telah diterjemahkan ke lebih 20 bahasa dan telah terjual melebihi 6 juta naskhah. Satu angka yang sangat besar bagi sesebuah buku motivasi.
Ada satu bab dalam buku ini penulis cuba membantu pembaca untuk menghapuskan rasa takut dan membina semula keyakinan yang hilang atau pudar. Bila saya baca bab ini dan bab selepasnya iaitu cara berfikir dan berjiwa besar, saya tahu saya kena berubah, Saya tak boleh hidup statik aje dan berasa selesa. Saya kena buat sesuatu agar hidup ini lebih bermakna, lebih memberi manfaat, lebih berjaya dan dapat membantu orang lain juga. Saya mesti melawan ketakutan atau rasa rendah diri yang bertapak lama dalam diri (sejak sakit, saya mengambil masa yang lama untuk pulih). Dan di sini, saya kongsikan beberapa tip yang bagus dari buku The Magic of Thinking Big ini agar anda juga dapat bangkit dari rasa takut, rendak diri dan kecewa. Jika anda selesa membaca dalam Bahasa Inggeris, ayat yang ditulis mudah difahami dan santai. Jika anda selesa membaca dalam Bahasa Melayu, buku ini ada diterbitkan dalam Edisi Bahasa Melayu oleh penerbit PTS (boleh aje anda dapatkan di shopee, TikTok, Lazada atau web penerbit).

Menurut penulis, rasa takut adalah sejenis penyakit psikologi. Kita boleh menyembuhkannya sama seperti menyembuhkan jangkitan pada tubuh iaitu dengan rawatan spesifik dan terbukti berkesan. Pertama, sebelum proses rawatan dimulakan, satu fakta perlu disematkan dalam diri iaitu ‘Keyakinan perlu dibina’. Tiada siapa yang dilahirkan dengan keyakinan termasuklah Hang Tuah. Jadi, bagaimana Hang Tuah berjaya menempa nama?
Menurut penulis buku, perkara paling penting yang perlu dilakukan adalah Melakukan tindakan. Ingat, prinsip ‘tindakan dapat menghilangkan ketakutan’ perlu ditanam dalam minda (action cures fear). Ini juga yang diterapkan oleh 3 guru bisnes saya masa saya mula-mula masuk kelas dulu. Untuk lawan rasa takut, kita kena kuatkan semangat buat apa yang kita takutkan itu. Sebagai contoh, jika kita takut buat live, buat aje live walaupun hanya 5 minit. Jika kita tak berapa pandai edit video untuk media sosial, belajar dan buat step-by-step. Walaupun sedikit lambat, tetap juga kita berusaha untuk melakukannya.
Ada banyak kisah benar dalam buku ini yang dikongsikan penulis tentang ketakutan yang dihadapi oleh setiap peringkat umur, pekerjaan, tahap pendidikan mahupun pangkat. Semua orang pada satu ketika, pasti berhadapan dengan ketakutan yang membuatkan diri rasa tak tenang, tak selesa dan terancam. Pada penulis, rasa takut itu perlu dipisahkan dari diri. Ada 2 langkah bagu mengubati rasa takut dan memenangi keyakinan:
- Pisahkan segala rasa takut. Kenal pasti apa yang sebenarnya kita takuti.
- Kemudian, ambil tindakan yang perlu. Setiap rasa takut pasti ada penawarnya. Bertindak segera dengan tegas.
Sebenarnya, kurang keyakinan diri lazimnya disebabkan oleh memori yang tidak diurus dengan cekap. Part ni paling penting, otak kita umpama bank. Setiap hari kita menyimpan fikiran dalam akal kita dan berkembang menjadi ingatan. Jadi, semasa kita sedang memikirkan cara bagi menyelesaikan sesuatu masalah, akal kita pantas memeriksa memorinya, “Apakah yang saya tahu mengenai perkara ini?” Secara automatik, bank memori kita akan menjawab dan membekalkan sedikit maklumat berkenaan situasi yang kita simpan atau peristiwa masa lalu.
‘Juruwang’ dalam bank memori kita memang boleh diharap. Dia tidak pernah menipu kita. Sebagai contoh, “Keluarkan fikiran yang pernah saya mmasukkan pada masa lalu iaitu yang membuktikan saya kurang bernilai berbanding orang lain,” maka dia akan menjawab, “Baiklah tuan. Ingat atau tidak yang cikgu darjah enam tuan pernah beritahu tuan yang tuan tidak akan berjaya dalam hidup> Ingat atau tidak yang rakan sekerja tuan juga memandang rendah pada tuan?” Begitulah seterusnya, juruwang itu terus mengorek segala ceruk bagi mencari bukti dari soalan yang ditanyakan.

Juruwang ini bertindakbalas seperti yang dikehendaki, membenarkan deposit fikiran yang kita ingin keluarkan. Berikut adalah dua perkara yang perlu dilakukan bagi membina keyakinan melalui pengurusan bank memori.
- Masukkan fikiran yang positif sahaja. Orang yang berjaya dan yakin tidak membiarkan kenangan pahit menguasai diri. Orang yang berjaya memastikan mereka meletakkan fikiran positif ke dalam memori. Bagi mereka, “Yang sudah itu sudah.” Pada mereka, hanya fikiran positif yang layak diundang ke daerah bernama akal. Ingatkan kembali pengalaman menarik dan positif. Letakkan fikiran yang baik dalam bank memori. Di samping itu, sebelum tidur, masukkan fikiran yang baik ke dalam bank memori kita. Ingat perkara-perkara baik yang harus disyukuri. Ingat juga perkara-perkara lain yang dilakukan oleh orang lain pada hari itu. Cari sebab mengapa kehidupan kita adalah kehidupan yang bahagia.
- Keluarkan fikiran yang positif sahaja. Ada satu kisah dalam bab ini tentang seorang pakar psikologi bertemu dengan pesakit perempuan umur lewat 30-an dan mempunyai dua anak. Dia menderita kemurungan yang kronik. Baginya seluruh hidupnya adalah suatu mimpi ngeri. Padanya, sepanjang hidup dia tidak pernah berasa gembira. Jadi, oleh sebab kenangan semalam membentuk pandangan masa depan, maka dunianya seolah-olah penuh dengan pesimis dan kegelapan.
“Sebagai ahli psikologi, saya tidak dapat mengubah memori seseorang tetapi dengan kerjasama pesakit, saya dapat mengubah tanggapannya mengenai memorinya, Saya membantunya bagi ‘melihat’ keseronokan dan kegembiraan dalam hidupnya. Saya memberikan tugas khas kepadanya. Setiap hari, saya memintanya supaya memikirkan dan mencatatkan tiga sebab spesifik mengapa dia perlu berasa gembira. Kemudian, setiap Khamis, kami sama-sama membincangkan senarai ‘Sebab saya gembira’ itu. Rawatan ini berlanjutan selama tiga bulan. Perubahan yang dialaminya semakin memuaskan. Hari ini, wanita itu cukup selesa dengan situasi hidupnya. Dia kini bersikap positif dan gembira seperti kebanyakan orang lain.”
Apabila kita teringat sesuatu, fokuskan pada aspek yang positif sahaja dan lupakan yang negatif. Buang kenangan pahit dan apabila kita mendapati yang kita terfikir perkara negatif, ‘padamkan’ minda kita selengkapnya dan beranikan diri menakluki rasa takut.

5 Latihan membina keyakinan diri. Baca dan amalkan bagi membina keyakinan yang mantap.
- Duduk di hadapan. Amalan duduk di bahagian hadapan adalah bagi membina keyakinan. Cubalah.
- Pandang matanya. Kita dapat menilai seseorang melalui cara dia menggunakan matanya. Apabila kita memandang orang lain dengan yakin, kita sebenarnya sedang berkata, “Saya jujur. Saya yakin dengan kenyataan yang saya sampaika. Saya berani.”
- Berjalan 25 peratus lebih pantas. Pakar psikologi mengatakan yang sikap dapat diubah dengan mengubah gaya dan kelajuan pergerakan.
- Bersuaralah. Kita perlu bercakap kerana itu adalah vitamin membina keyakinan.
- Berikan senyuman lebar. Senyuman adalah penawar bagi merawat orang yang menderita penyakit ‘tidak yakin’. Senyuman dapapt melawan rasa takut, melenyapkan kerisauan dan mengalahkan keadaan putus asa. Senyuman mesti lebar.
Untuk mengubah rasa takut ini sedikit mengambil masa tetapi jika kita berusaha untuk memperbaiki diri, insyaAllah, pasti akan menampakkan hasilnya. Bertekadlah memasukkan fikiran positif ke dalam bank memori dan perlahan-lahan tapi pasti, kita dapat membina kembali keyakinan dan mewujudkan personaliti yang diinginkan.

