Bersyukur dari sudut pandang Islam

Di dalam Islam, bersyukur (‘syukr’ atau ‘syukran’ dalam bahasa Arab) adalah suatu konsep yang sangat penting. Terdapat banyak tempat di dalam al-Quran menyatakan tentang pentingnya bersyukur. Begitu juga terdapat banyak hadis dan kisah dari tabi’ tabi’in menceritakan tentang bersyukur dari sudut pandang Islam ini.

Syukur bererti mengakui, berterima kasih dan menghargai nikmat dan kebaikan yang diberikan oleh Allah. Bersyukur tidak hanya melibatkan ucapan Alhamdulillah dan terima kasih, tetapi juga ia mencakupi tindakan dan sikap seharian kita. Bersyukur dari sudut pandang Islam dapat dipecahkan kepada beberapa bahagian:

  • Pengakuan terhadap nikmat pemberian Allah: Syukur bererti mengakui dan sedar bahawa segala sesuatu yang dimiliki sama ada dari sudut harta, kesihatan, keluarga atau kemampuan, ia merupakan kurniaan dari Allah. Ini adalah bentuk penghormatan terhadap hak Allah sebagai Pencipta dan Maha Pemberi Nikmat.
  • Bersedekah dan berbuat baik: Menggunakan harta yang dimiliki, masa yang ada dan kesihatan yang baik untuk membantu orang lain. Membantu dari sudut berkongsi rezeki, bersedekah, melakukan kebaikan, tidak kedekut dan melakukan pekerjaan yang mendatangkan manfaat.
  • Memelihara akhlak dan etika: Hamba Allah yang bersyukur sudah pasti berusaha menjaga akhlak dengan orang kelilingnya. Dia mempunyai pegangan etika hidup yang berlandaskan kepada Al-Quran dan sunnah.
  • Melaksanakan ibadah: Cara menunjukkan tanda kita bersyukur dengan nikmat kurniaan Allah dengan mengikut apa yang disuruh dan meninggalkan apa dilarang. Berusaha untuk menjaga solat, puasa, zakat, sedekah, akhlak dan lain-lain lagi sebagai tanda bukan sahaja syukur tetapi patuh dengan perintah-Nya. 
  • Bersangka baik dan belajar menerima takdir: Setiap ujian yang diberikan Allah, hamba-Nya amat perlu belajar bersangka baik, bersabar dan berusaha untuk kawal diri. Takdir telah tertulis sebelum kelahiran kita. Jadi apabila sesuatu yang  buruk atau tidak disenangi berlaku, sabar itu perlu diletakkan di tangga pertama. Perlu kawal mulut, emosi dan fizikal agar tidak bertindak di luar batas.
  • Mendekatkan diri kepada Allah: Mempelajari dan mengamalkan apa yang difirmankan Allah di dalam Al-Quran. Tanda syukur yang paling ketara ini menunjukkan bahawa Allah mahu hamba-Nya menerima yang terbaik daripada-Nya. Seperti apa yang difirmankan Allah dalam surha al-Baqarah.
  • Berterima kasih: Kita bukan sahaja berterima kasih kepada Allah tetapi juga berterima kasih kepada orang sekeliling yang membantu memudahkan urusan. Berusaha membalas kembali kebaikan dengan membantunya kembali, mengucapkan kata-kata yang baik dan mendoakannya. Daripada Abdullah bin Umar r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Sesiapa yang berbuat baik kepada kamu, berilah balasan yang setimpal kepadanya. Jika kamu tidak mendapati (sesuatu yang setimpal), berdoalah sehingga kamu mengetahui bahawa kamu telah membalasnya (mengulangi doa sehingga menyangka haknya telah ditunaikan). Diriwayatkan oleh Abu Daud dan An-Nasa’i. 

Sabar dan syukur adalah dua kata kunci yang penting dalam meneruskan kehidupan seperti yang dikatakan oleh HAMKA. Jika salah satu dari kedua ini hilang, ia ibarat rama-rama yang kehilangan sayap. Selepas ini, apapun yang berlaku, bersyukur dari sudut pandang Islam perlulah diterapkan sekali dengan rasa sabar agar kita sentiasa menyedari nikmat yang diterima lebih banyak daripada keburukan. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *