Soalan yang sering ditanya, apakah perlu kesyukuran ditunjukkan pada orang lain atau simpan pada diri sendiri?
Jawapan bagi persoalan ini agak subjektif. Bergantung kepada individu. Kesyukuran tidak semestinya perlu ditunjukkan secara terbuka tetapi mengungkapkan rasa terima kasih kepada orang sekeliling membantu mengeratkan lagi hubungan dan meningkatkan hubungan sosial. Ada ketika, kesyukuran yang ditunjukkan boleh memberikan impak positif pada orang lain, diri sendiri dan memperkuatkan hubungan sesama ahli keluarga mahupun rakan kerja. Namun, ada juga nilai dalam rasa syukur yang perlu disimpan secara peribadi.
Individu yang tidak menunjukkan rasa bersyukur kepada umum, bukan mereka tidak bersyukur cuma mereka ingin menyimpan buat diri sendiri dan dengan Allah sahaja. Mereka suka melakukan dalam diam. Individu seperti ini ada waktu takut dengan ujian pujian daripada orang, takut ujub juga takut dengan ujian fitnah. Mereka sekadar beringat dengan hadis Nabi s.a.w tentang bahayanya ujian pujian.
Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakrah r.a bahawa seorang lelaki telah memuji seorang lelaki lain di sisi Nabi s.a.w. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda:
وَيْحَكَ قَطَعْتَ عُنُقَ صَاحِبِكَ قَطَعْتَ عُنُقَ صَاحِبِكَ مِرَارًا إِذَا كَانَ أَحَدُكُمْ مَادِحًا صَاحِبَهُ لاَ مَحَالَةَ فَلْيَقُلْ أَحْسِبُ فُلاَنًا وَاللَّهُ حَسِيبُهُ وَلاَ أُزَكِّي عَلَى اللَّهِ أَحَدًا
Maksudnya: Celaka kamu. Kamu telah memotong leher sahabatmu, kamu telah memtong leher sahabat kamu. Sekiranya salah seorang daripada kamu semua ingin memuji sahabatnya sekalipun, hendaklah dia mengucapkan “aku menyangka fulan sedemikian dan Allah lah sebenar yang menghitungnya, dan aku sama sekali tidak memuji seseorangpun mengatasi Allah”.
(Hadis riwayat Muslim)
Jika sebagai seorang individu kita tidak ada masalah dalam menunjukkan kesyukuran, teruskan aje. Mungkin dengan perlakuan anda ini boleh menarik atau mengajak orang lain untuk turut bersyukur akan nikmat yang diperolehi. Jika ada rasa was-was untuk menunjukkannya, jangan tunjuk. Mungkin ia petanda hati inginkan pujian.
Apakah kesyukuran perlu ditunjukkan? Tepuk dada tanya iman.