Buat perkara yang ralitkan diri untuk isi kebahagiaan diri dan belajar fokus

Buat perkara yang ralitkan diri kita agar masa yang ada diisi dengan perkara yang bermanfaat, berfaedah, menyeronokkan dan beri kita ketenangan juga fokus. Dan baru ini, saya isi masa lapang cuti hujung minggu dengan bermain semula jigsaw puzzle yang saya tak sentuh hampir 2 tahun. Kerja memang banyak dan tak pernah habis. Nak baca buku, baru aje selesai baca Laksamana Sunan latest. Pun dah habis. Nak update medsos, saya cuba untuk update sehari atau dua hari sekali aje (tak mahu ketagihan dan mata memandang skirin sangat). Nak memasak, oven rosak. Jadinya, Allah beri idea untuk bermain permainan yang bertahun tak sentuh tu.

Saya start bermain Jumaat petang. Berhenti rehat kejap-kejap aje. Saya tidur dalam jam 12 begitu. Esoknya, lepas saya settle masak sarapan, kemas rumah dan masak nasi ayam untuk makan tengahari, saya sambung balik main puzzle ni. Bersungguh-sungguh nak menyiapkan bahagian bunga dan bingkai cermin. Kali ni, saya tidur jam 12.30 pula. TV apa pun tak tengok. Tapi, antara the best thing yang saya perasaan, saya berzikir ketika bermain. Bukan sentiasa tapi ada banyak waktu, Allah izinkan saya berzikir dan membaca doa mudah hafal yang sering saya baca awal pagi. Mungkin minda saya berkata, ‘Nak main boleh tapi jangan lupa Allah. Zikir. Agar masa yang ada terisi juga dengan pahala’.

Saya rasakan, perasaan dan lintasan hati sebegitu adalah rezeki. Rezeki saya bukanlah sederap kekayaan atau kemewahan. tapi Allah berikan saya rasa lapang, fokus, ralit, berzikir, jaga mata dari pandang benda bukan-bukan dan jaga mulut. Syukur sangat Allah berikan saya masa untuk bahagiakan diri sendiri. Bahagiakan hati dengan cara saya. Bila dapat letak satu puzzle kat tempat yang betul aje dah happy. Pada masa yang sama, saya perasan, semangat tak reti putus asa dan nak usaha juga cari puzzle yang betul tu sebenarnya itulah semangat saya yang hilang. Saya akan usaha sebaik dan semampu mungkin dengan pelbagai cara untuk dapatkan puzzle yang tepat. Ia seperti wake-up call untuk saya tidak berhenti putus asa dalam hidup dan jangan mengalah. Hidup memang tidak mudah sama seperti jigsaw puzzle tapi jika kita bertekad mahukan ianya terjadi, berjaya dan menjadi realiti yang diimpikan, kita kena cuba apa jua cara dan berusaha untuk tidak mengalah atau berlepas diri. Cuba dahulu. At least kita belajar sesuatu. Buat perkara yang ralitkan ini sebenarnya tidaklah membuang masa cuma bagaimana kita hendak olah jadi kebaikan pada diri dan melupakan sebentar masalah yang ada, itu yang penting. Jangan biarkan diri diisi dengan memikirkan masalah yang bukan-bukan dan prasangka negatif.

Lakukan perkara baru yang meralitkan diri

Ada waktu, saya ralitkan diri dengan mencuba resipi baru atau menu baru. Dengan fokuskan minda dan kerja pada perkara baru, kita terlupa dengan masalah yang dihadapi sebentar. Bukan apa, kita tidak mahu terus hanyut dengan rasa sedih, kecewa, duka, benci, marah atau apa sahaja yang negatif. Sebab, rasa negatif ini tak banyak bawa kebaikan pada diri, jiwa dan minda (sebab saya pernah alami 20 tahun lalu, jadi saya nak elakkan).

Untuk anda yang cuba nak alih rasa negatif dan tak best dalam hidup, cubalah buat perkara yang ralitkan diri sendiri. Kita sendiri akan rasa bagaimana rasa negatif itu berkurangan dan tercampak sebentar dari ingatan. Katakan juga pada diri, ‘Apa yang Allah beri tak sia-sia. Dia tahu apa yang kita bagus, kurang dan lebih. Jangan deny. Fokus pada perkara baik yang membahagiakan’.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *