Kali ini, saya ingin kongsikan kisah tentang dendam jangan melampau dari buku ‘Dalam hati ada syurga’. Kita mungkin pernah terasa hati bila ada orang tertentu menyakiti hati kita, memperlekehkan kita, menganiaya kita dan sebagainya. Maka di sini, saya kongsikan kisah yang membuka mata saya untuk belajar melepaskan dan biar Allah sahaja yang membalasnya. Sebab jika kita ingin membalas sendiri, kita takut akan ada orang lain yang teraniaya atau pembalasan tersebut buat kita menjadi orang kejam dan tiada perasaan.
Kisah dendam jangan melampau ini berlaku pada abad ketujuh Masihi. Ia berlaku ke atas seorang ulama bernama Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah. Ibnu Taimiyyah diusir ke Iskandariah, Mesir kerana ulah beberapa ulama yang berdendam dengannya. Akibat perselisihan pendapat, mereka menghasut kerajaan untuk mengusir Ibnu Taimiyyah dari Damsyik ke Iskandariah.
Namun, takdir Allah menentukan lain. Setelah beberapa ketika di Iskandariah, kerajaan bertukar. Penguasa yang lama tewas di tangan Sultan Malik Nasir Ibnu Qalawun. Berbeza dengan pemimpin lama, pemimpin baru ini sangat mencintai dan menghormati Ibnu Taimiyyah. Justera, apabila sultan datang ke Iskandariah, orang pertama yang dicari adalah Ibnu Taimiyyah. Baginda meminta beliau hadir dalam sebuah majlis diraja yang penuh penghormatan.
Apabila sultan melihat Ibnu Taimiyyah, baginda bangkit menyambut beliau. Baginda mengajaknya berjalan-jalan di luar istana beberapa ketika, lalu duduk di taman sambil berbincang-bincang. Tidak berapa lama kemudian, sultan masuk ke istana sambil memegang tangan Ibnu Taimiyyah, Ibnu Katsir berkata, Ibnu Taimiyyah pernah menceritakan kepadaku perbualan sultan dengannya di taman tersebut. Sultan meminta persetujuan beliau untuk membunuh sebahagian ulama yang pernah menentangnya. Rupa-rupanya sultan berdendam kepada mereka kerana para ulama ini pernah menyokong pemberontak.
Ibnu Taimiyyah tidak bersetuju. Malah beliau mengingatkan sultan untuk selalu menghormati para ulama dan menbacakan beberapa hadis berkenaan perkara itu. Sultan berkata, “Akan tetapi, para ulama ini juga yang memfitnah dan menyakitimu berkali-kali? Ibnu Taimiyyah menjawab, “Aku telah memaafkan setiap orang yang pernah menyakitiku. Siapa yang menyakiti Allah dan rasul-rasul-Nya, maka Allah pasti menghukumnya. Aku tidak menyimpan dendam kepada mereka.”
Ibnu Taimiyyah terus memujuk sultan sehingga akhirnya baginda membatalkan niat tersebut. Ini menunjukkan bahawa Ibnu Taimiyyah tidak membiarkan rasa dendam terus berleluasa dalam jiwanya, (Kisah dari kitab Al-Bidayah wa an-Nihayah)