15 Cara menggembirakan diri saat sedih dan kecewa bila berseorangan

Dalam 7 tahun kebelakangan ini ramai individu kelihatan mula menghadapi masalah tekanan emosi, sedih melampau, kecewa dan kepenatan maksimum. Jika dirujuk pada statistik Kementerian Kesihatan Malaysia, ini dibuktikan apabila masalah kesihatan mental menunjukkan trend peningkatan dengan statistik individu yang mendapatkan sokongan menerusi Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS) meningkat lima kali ganda bagi tahun 2022 berbanding tahun 2020. Isu ini tidak boleh dipandang enteng dan usaha untuk mengesan, mencegah dan bertindak balas perlu dilaksanakan secara serius.

Natijahnya, isu kesihatan mental dan emosi negatif melampau menjadi antara punca utama yang menjejaskan kesejahteraan fizikal dan sosial seseorang individu. Berdasarkan beberapa kajian, artikel dan pengalaman sendiri dan orang sekeliling, kami senaraikan 15 cara yang mampu menggembirakan kembali diri di saat dirundung rasa sedih dan kecewa. Cara ini berbeza bagi setiap individu namun anda boleh praktikkan mengikut situasi semasa dan keninginan anda untuk mencuba.

15 Cara menggembirakan diri saat sedih dan kecewa bila seorang diri.

  1. Luahkan perasaan pada Allah: Ambil masa untuk solat dan doa. Luahkan segalanya kepada Allah kerana Dia Maha Mendengar dan Maha Mengetahui apa yang terbuku di hati. Selalunya selepas kita melempiaskan segala rasa dan emosi pada Allah, akan terbit satu rasa tenang dalam hati. Segala yang terbeban terasa semakin ringan meskipun kita tidak melakukan apa-apa sebelumnya.
  2. Istigfar dan zikir: Ringankan mulut untuk beristigfar atau menyebut zikir-zikir pilihan yang mudah. Dengan melakukan ini, fikiran kita seorang teralih sebentar dari memikirkan masalah yang ada dan berharap Allah dapat menenangkan diri kita dalam kemelut jiwa.
  3. Berjalan kaki keluar dari rumah: Hirup udara segar, nikmati pemandangan yang dihidangkan depan mata, lihat langit dan awan yang bergerak, nikmati kehijauan pokok dan keindahan bunga yang ada sepanjang perjalanan. Ini perlahan-lahan akan menukar perspektif kita dan mengurangkan rasa sempit di dalam dada.
  4. Beli buku atau bahan bacaan baru: Pergi ke kedai buku dan cari buku atau majalah yang mampu mengalihkan emosi tidak stabil kita kepada ilmu baru yang menggembirakan. Elakkan diri dari membeli buku berunsur politik, masalah negara, bacaan berat dan porno.
  5. Bernafas dalam-dalam dan perlahan-lahan: Cuba tenangkan diri dan bernafas dalam-dalam dan perlahan. Matlamat proses ini adalah untuk memberi ketenangan minda dan memfokuskan pada pernafasan. Anda akan dapati pernafasan semakin baik dan minda menjadi tenang.
  6. Tonton filem atau drama yang mampu buat anda tersenyum dan ketawa: Filem atau drama ini mampu menukar perasaan sedih dan kecewa kepada perasaan lebih tenang dan gembira. Ia memang tidak menyelesaikan terus masalah kita tapi ia beri peluang kepada minda kita untuk berehat sebentar.
  7. Lakukan kebaikan meskipun kecil: Hulurkan bantuan kecil, beri senyuman atau doa kepada orang lain. Bila kita menggembirakan orang, hati kita turut digembirakan oleh Allah.
  8. Menulis jurnal kesyukuran: Tulis 3 perkara yang masih boleh disyukuri hari ini. Walaupun kecil, ia akan membuka mata hati untuk melihat sisi positif.
  9. Bersenam dan buat regangan ringan: Keluar dari rumah. Pergi joging atau lakukan regangan ringan. Jika kita terpuruk sahaja dalam rumah atau bilik, fikiran kita akan mula disibukkan dengan perkara negatif.
  10. Praktikkan waktu kesedaran (mindfulness): Fokus pada perkara apa yang sedang berlaku dan jangan sibukkan diri dengan memikirkan masa lepas yang berlaku dan masa hadapan yang belum tiba lagi. Kita selalu nervous bila terlalu memikirkan kedua-dua situasi ini. Enjoy dan nikmati waktu yang sedang berlaku sekarang.
  11. Jauhkan diri dari media sosial: Rehat seketika dari dunia maya. Ia kadang menambah rasa kecewa dengan perbandingan yang tidak sihat. Kita rasa seperti seolah down grade bila lihat pencapaian orang lain.
  12. Lakukan hobi lama atau hobi baru: Jika sewaktu kecil kita ada hobi yang menggembirakan dan meralitkan kita, cuba praktikkannya kembali sekarang. Jika anda ingin cuba hobi baru yang menarik tapi masih tak sempat, inilah masanya untuk mencuba.
  13. Solat dan membaca al-Quran atau hadis: Jika anda seorang Muslim, lakukan ini. Jangan tinggal. Bila anda tinggal terlalu lama, jiwa akan haus dan hidup rasa seperti ada yang tidak kena. Paling kurang, setiap hari bacanya satu terjemahan ayat dari al-Quran mahupun hadis (jika datang haid).
  14. Interaksi dengan manusia lain secara berhadapan: Selalunya bila kita hadapi masalah, kita sering menyendiri dan lari dari berjumpa sesiapa sahaja. Tolong, jangan rosakkan diri anda. Keluarlah dah berjumpalah dengan orang sekeliling meskipun hanya 5 ke 10 minit. Hargai pentingnya ada orang di sekitar kita.
  15. Makan makanan sihat: Makanan ada waktu dipengaruhi dengan emosi dan keadaan kita. Contoh, bila sedih, kita akan banyak makan benda berminyak dan manis. Jika selalu dibuat, ia bakal mengundang penyakit. Jika anda tiada sayur dan buah di rumah, banyakkan minum air kosong dan bukan manis sahaja. Sekurangnya belilah pisang atau buah epal untuk stok makan beberapa hari.

Ingat! Ini adalah saranan dan cara yang kebanyakan daripada manusia yang mengalami sedih dan kecewa lakukan. Mereka praktikkan ini kerana mereka mahu keluar dari kepompong masalah sedih dan jiwa yang meragut kegembiraan selama berhari-hari. 15 cara menggembirakan diri saat sedih dan kecewa ini diharap dapat membantu anda untuk tidak terjebak terlalu lama dalam kemelut ribut jiwa. Jika anda ingin mula kembali menenangkan diri dan mengawal rasa sedih anda, anda boleh cuba dapat jurnal kesyukuran pelengkap kegembiraan. Jurnal ini perlahan-lahan tapi pasti  dapat memandu anda untuk melihat keadaan sekeliling bahawa ada banyak kebaikan yang diterima dalam hidup ini setiap saat. Bermula dari kita bangkit dari tidur sehinggalah kita tidur semula malamnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *