Hubungan silaturrahim merupakan salah satu amalan yang sangat dianjurkan dalam kehidupan. Ia bukan sekadar membina hubungan yang erat dan baik antara sesama manusia, tetapi juga mencerminkan rasa syukur kita atas kehadiran mereka dalam hidup. Apabila kita bersyukur maksudnya kita menghargai setiap individu yang Allah hadirkan untuk memberi makna dalam kehidupan kita. Kehadiran mereka yang telah ditentukan Allah wujud dalam hidup kita pastinya ada pelajaran yang mahu Allah pelajari darinya. Setiap yang berlaku ada sebabnya.

Beberapa cara kita boleh menunjukkan rasa syukur melalui hubungan silaturrahim dengan keluarga, rakan mahupun jiran tetangga antaranya termasuklah:
-
Menjaga Hubungan Kekeluargaan
Keluarga adalah anugerah yang tidak ternilai. Dengan meluangkan masa bersama, bertanya khabar, berbual mesra dan saling membantu, kita menunjukkan bahawa kita menghargai kehadiran ahli keluarga lain dalam hidup. Ada waktu, perbualan singkat tapi bermakna sangat diperlukan untuk mengukuhkan hubungan kekeluargaan. Ringankan mulut untuk berbual. -
Memohon Maaf dan Memaafkan
Tiada hubungan yang sempurna, namun sikap pemaaf dan rendah hati akan mengukuhkan lagi ikatan persaudaraan dan itulah yang disarankan dalam Islam. Dengan memaafkan, kita bersyukur kerana diberi peluang untuk memperbaiki hubungan dan berusaha untuk jalan terus tanpa terlalu memikirkan perkara yang mungkin menyakitkan atau menyedihkan. Mulut ada ketika sukar dibendung apa yang ingin diucap. Maka, bila sudah sedar akan kesilapan, segeranya memohon maaf dan rendahkan ego. -
Berbuat Baik kepada Sahabat dan Jiran
Kehadiran sahabat dan jiran yang baik dan bertolak ansur adalah salah satu rezeki yang sangat diinginkan. Jika anda di pejabat dan ditakdirkan memiliki sahabat seperti ini, hargailah mereka. Berilah pertolongan bila mereka memerlukan, dengarlah luahan hati mereka dan bantulah jika mampu dan seringlah bertanya khabar rakan dan jiran. Ingat! Banyak hadis tentang bagaimana Baginda Nabi s.a.w berusaha melakukan kebaikan kepada sesiapa sahaja yang ditemui. -
Menjalin Silaturrahim dengan Senyuman dan Doa
Kadangkala, perkara sekecil senyuman boleh mengeratkan hubungan. Selain itu, mendoakan kesejahteraan orang lain tanpa pengetahuan mereka juga merupakan tanda syukur dan kasih sayang yang tulus. Ada hadis Nabi s.a.w berkaitan dengan ini. Daripada Abu Dzar r.a, Nabi s.a.w bersabda; “Janganlah kamu menghina kebaikan sedikit pun, walau sekiranya engkau bertemu dengan saudara engkau dengan wajah yang ceria.” (Riwayat Muslim)
Nabi s.a. berpesan kepada umatnya, “Sesiapa yang inginkan rezekinya diluaskan dan dipanjangkan usianya, maka jalinkanlah hubungan silaturrahim (dengan ihsan).” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Anas bin Malik r.a)

Jika pun kita pernah ada berselisih pendapat, pandangan, tidak sehaluan, biarlah ia tidak terlalu lama kemarahan atau kecil hati itu bertempat dalam hati. Belajarlah menerima kekurangan yang ada dalam diri setiap manusia dan perlahan-lahan belajarlah juga memberi kemaafan. Semua kita ada kekhilafan dalam hidup. Masing-masing ada fasa kematangan yang perlu dilalui. Dan adalah sebaiknya eratkan kembali hubungan silaturrahim yang terputus agar satu ketika nanti, kita tidak rasa terkilan dan menyesal

