Kelebihan bersyukur atau manfaatnya pada diri sendiri tak ramai yang tahu. Bagi orang awam umumnya, bersyukur sekadar menyebut ucapan Alhamdulillah atau terima kasih. Paling kurang, ‘mood’ kita baik pada hari itu. Sebenarnya bersyukur memberi kesan lebih dari itu secara tidak sedar.
Hasil kajian oleh pakar psikologi Dr. Robert A. Emmons dan rakan-rakannya dari University of California menunjukkan kelebihan bersyukur pada sudut psikolog dan emosi memberikan impak yang besar pada diri dan juga orang sekeliling. Di sini, kami kongsikan kelebihannya agar kita lebih tahu akan penyebab kesihatan dalaman diri yang dinikmati.
Kelebihan bersyukur dari sudut psikologi dan emosi:
- Mempunyai tahap emosi positif yang tinggi: kita berusaha untuk mengubah fokus dari fikiran negatif kepada positif. Kita berusaha mengeluarkan memori positif lebih banyak yang dinikmati sepanjang hidup dalam melawan perasaan negatif dan tekanan yang dialami.
- Lebih bersiaga, bersemangat dan rasa ingin lebih memaknakan hidup: Orang yang mengamalkan rutin berfikiran positif akan cenderung kurang mengalami masalah kemurungan. Pada mereka, setiap hari adalah hari baru. Hari baru yang barangkali boleh menggembirakan lagi diri dan juga berkongsi manfaat dengan orang lain.
- Lebih ceria dan gembira: Mereka yang sering bersyukur, anda akan perasan yang mereka sentiasa berada dalam ‘mood’ gembira. Bukan mereka tidak ada masalah cuma mereka belajar menghargai banyak perkara baik yang berlaku dalam hidup. Contoh seperti dapat berjalan, badan sihat, tidur yang nyenyak, kawan yang baik dan lain-lain.
- Lebih optimis dan bahagia: Jika anda perhatikan, kenalan atau ahli keluarga yang sentiasa bersyukur lebih cenderung untuk bersangka baik pada Allah. Pada mereka, rancangan Allah itu yang terbaik berbanding perancangan sendiri yang kemungkinan pada masa hadapan merosakkan diri sendiri. Secara tidak langsung, memperbaiki keseimbangan emosi akibat masalah yang sedang dihadapi.
- Cuba untuk menguatkan semangat dan merancang hidup: Bersyukur dapat membantu menguatkan diri agar tidak mudah putus asa. Sekecil-kecil nikmat diterima, tetap nikmat yang tidak dapat disangkal. Orang yang memiliki fikiran sebegini akan kurang membuat perbandingan hidup dengan orang lain. Hidup lebih tenang.
Secara keseluruhannya, kelebihan bersyukur pada sudut psikologi dan emosi mampu menjadikan seseorang individu itu untuk lebih bersabar, bertenang, sangka baik dan kuat semangat. Fikiran positif yang cuba dibentuk mampu memandang banyak perkara baik berbanding perkara tidak baik yang berlaku pada diri. Mengamalkan rasa syukur secara berkala boleh membawa perubahan yang baik dalam kehidupan dan juga perhubungan.

