Ujian kesakitan, keresahan, kemelaratan, tanda Allah sayang?

Benarkan ujian kesakitan, keresahan, kemelaratan tanda Allah sayang kita? Manusia secara fitrahnya akan mengalami kemelut yang dahsyat apabila berhadapan dengan ujian yang besar dalam hidup. Segala macam ujian yang berlaku mampu membuatkan diri hilang kawalan dan menjemput perasaan stres yang melampau.

Ada ungkapan Saidatina Maryam di dalam al-Quran menyatakan bahawa manusia yang diuji secara fitrahnya akan merasa putus asa dan mengalah hingga ke satu tahap bercita-cita untuk lenyap. Ini terjemahan kepada sakit emosi atau dalaman  yang tidak nampak dek mata kasar. Islam melalui al-Quran mengiktiraf perasaan ini. Namun, perasaan ini perlu disalurkan dengan cara yang betul sebelum merebak kepada perbuatan yang melanggar hukum iaitu membunuh diri sendiri.

“Maka Maryam pun hamil, lalu ia memencilkan diri dengan kandungannya ke sebuah tempat yang jauh. (Ketika ia hendak bersalin) maka sakit bersalin itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); ia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini lalu aku menjadi seorang yang dilupakan dan tidak dikenang-kenang orang!” (Surah Maryam 19: 22-23)

Ucapan sabar tidak semudah untuk praktikkannya terutama dalam situasi yang sudah tidak tertanggung lagi. Apabila ada orang bercadang untuk mati, ini menunjukkan kesabarannya telah teruji di tahap yang teramat tinggi. Mengadu kelemahan kepada Allah adalah langkah pertama untuk meredakan keserabutan emosi dan mental. Antara pesanan Allah bila hadapi kemelut jiwa yang hebat adalah dengan perbanyakkan zikir, doa, istighfar dan bersedekah.

“Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.” (Surah Ar-Rad 13: 28)

“Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah akan Allah dengan ingatan yang banyak.” (Surah Al-Ahzab 33: 41)

Nabi s.a.w juga berpesan: “Sesungguhnya Allah memiliki malaikat yang berkeliling di jalan mencari orang yang berzikir. Apabila mereka bertemu kelompok orang yang berzikir kepada Allah, mereka pun saling memanggil: Kemarilah kepada apa yang kamu hajatkan. Maka para malaikat menaungi mereka dengan membentangkan sayap-sayap mereka sehingga ke langit dunia.” (Hadis riwayat Bukhari dari Abu Hurairah r.a)

Apapun ujian yang datang pada kita, sentiasalah pegang kata-kata peringatan Allah kepada kita ini; “Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah.” (Surah al-Baqarah 2: 215)

Ingatkanlah diri bahawa setiap kesakitan yang berlaku pada diri ada sebabnya. Pertama, mencuci dosa kita. Kedua, Allah mahu menambahkan pahala kita. Dan ketiga, Allah mahu pastikan hamba-hamba-Nya yang terpilih daripada golongan yang sangat sabar, kuat dan tidak mudah menyerah kalah. Ingatkan diri bahawa ujian kesakitan, keresahan dan kemelaratan adalah ujian yang memungkinkan kita mendapat kebaikan daripada Allah. Jangan putus ada. Fikirkan tentang banyaknya nikmat yang Allah berikan pada kita setiap hari terutama sekali pada anggota badan kita yang mampu bergerak, melihat dan merasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *