Dalam Islam, penyakit was-was dipandang sebagai godaan atau bisikan dari syaitan yang bertujuan untuk menyesatkan dan membuat seseorang merasa ragu-ragu dan tidak pasti terutama sekali dalam hal ibadah atau membuat sesuatu keputusan. Apabila suatu situasi yang tak selesa timbul (trigger), was-was akan mula menyerang. Waktu inilah diri akan rasa sangat tertekan, risau dan takut. Islam menawarkan panduan untuk mengendalikan penyakit was-was, yang tidak hanya membantu dalam aspek keagamaan, tetapi juga dalam kehidupan seharian. Dan Alhamdulillah, beberapa langkah ini sudah dipraktikkan sewaktu melawan bisikan-bisikan negatif yang mengganggu.
Berikut adalah enam cara atau ubat mengendalikan penyakit was-was dari sudut pandang Islam yang boleh anda praktikkan:
- Zikir dan perbanyakkan membaca al-Quran juga terjemahannya.
- Lazimi mulut untuk sentiasa berzikir. Antara zikir yang anda boleh amalkan seperti Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar, Lahaulawala quwataillabillah, Subhanallah hiwabihamdih Subhanallah hil’azim dan lain-lain lagi yang mudah untuk dihafal.
- Janji dalam diri agar membaca al-Quran sekurang-kurangnya satu ayat sehari. Ini sebagai pendinding diri dan cara mendekatkan diri kepada Allah. Ingatkan diri bahawa kita perlukan Allah sentiasa. Selepas baca al-Quran, baca terjemahannya pula. Dengan membaca terjemahan, kita dapat lebih memahami apa yang Allah sedang katakan pada kita.
- Al-Quran dan zikir itu sebenarnya ubat kepada jiwa dan mengalih fikiran kita dari berfikir yang bukan-bukan.
2. Berdoa kepada Allah.
- Doa itu seperti talian hayat kita dengan Allah. Apabila kita berdoa, sepertinya kita meletakkan pengharapan kepada Pencipta untuk membantu permasalahan yang dihadapi. Meskipun bukan on-the-spot jawapan yang diterima tetapi ia memberi kita sedikit rasa tenang dan melegakan hati.
3. Melazimi dan mendalami ilmu agama.
- Baca buku-buku berkaitan agama, motivasi dan kerohanian. Hadiri kuliah-kuliah agama ataupun mendengarnya melalui sosial media seperti Youtube. Di zaman digital sekarang ini, kuliah agama boleh dihadiri secara maya jadi lebih mudah untuk sesiapa sahaja menimba ilmu. Dapatkan juga buku-buku hadis 40 atau ringkasan riyadhus shalihin yang mudah dibaca dan diamalkan. Sedikit sebanyak ia membantu membina kembali keyakinan kita. Dampingi diri dengan para ulama’ dan orang-orang soleh.
4. Berpegang pada prinsip kesederhanaan.
- Selalunya orang yang was-was, mereka mahu jika boleh semuanya sempurna. Tiada cacat cela. Perfect. Maka, antara ubat mengendalikan penyakit was-was ini adalah latih diri untuk menerima ketidaksempurnaan dalam satu-satu ketika. Hidup ini tiada yang sempurna. Kita cuma boleh lakukan semampu daya. Doa, usaha dan tawakal.
5. Menghindari sikap berlebihan dalam beribadah.
- Rasulullah s.a.w melarang sikap ghuluw (berlebih-lebihan) dalam agama. Was-was sering terjadi apabila seseorang terlalu cemas (nervous) bila setiap kali ingin melakukan amal ibadat. Disarankan sebelum melakukan apa-apa ibadat, doa pada Allah agar bantu mempermudahkan urusan. Misalnya, anda ada masalah berwudhu berulang kali kerana merasa belum sempurna, jadinya cuba berdoa dalam hati minta Allah bantu kita berwuduk dengan yakin dan tenang.
6. Lakukan kerja yang bermanfaat dan mengalih fokus ketakutan kita.
- Setiap orang dikurniakan Allah dengan sesuatu yang boleh melapangkan hati dan jiwa. Ada yang Allah kurniakan hobi membaca, berkebun, memasak, mengemas, beriadah, melukis, buat kolaj dan lain-lain. Jadikan ini antara salah satu cara untuk anda larikan fokus dari terlalu memikirkan perasaan was-was yang datang. Sibukkan diri dengan perkara bermanfaat yang menyenangkan hati kita dan juga membantu orang lain (jika boleh).
Dengan mempraktikkan enam ubat mengendalikan penyakit was-was ini, diharap kita dapat mengendalikan diri dengan lebih tenang, teratur, yakin dan sabar. Ia tidak terus baik tetapi memberi kita harapan, keyakinan dan mengalih fokus kepada perkara-perkara positif.