Penyakit was-was bila datang menyerang terutama ketika ibadah, antara soalan yang sering mengganggu adalah seperti, ‘Berapa rakaat ya aku dah solat? Betul ke bacaan fatihah aku? Niat aku ni Allah terima ke? Ini antara perkara yang sering membuatkan manusia was-was. Penyakit was-was jika tidak dikawal mampu memusnahkan diri dan membuatkan hidup tidak bahagia. Saya mengalami penyakit ini untuk sekian lamanya. Alhamdulillah, 10 tahun kebelakangan ini ia semakin kurang.
Pada awal was-was ini saya alami ketika di sekolah menengah. Ia menyerang saya bila solat. Tapi oleh kerana pada fasa sekolah menengah ini kita disibukkan dengan belajar, kawan-kawan dan keluarga, jadi, ia tidak mengganggu sangat. Boleh dikawal. Bila masuk universiti, was-was ini ada tapi masih boleh dikawal. Ia menyerang dengan teruknya bila saya menyambung pelajaran sarjana di seberang laut. Saya menyambung pelajaran yang bukan minat saya, tempat yang saya tak suka dan tiada kumpulan sokongan yang dapat membantu saya melawan perasaan was-was menjadinya penyakit kecil ini membarah dengan hebatnya. Saya boleh katanya. lebih 10 tahun saya menderita. Hanya Allah yang tahu betapa saya berusaha bersungguh-sungguh melawan perasaan was-was, buruk sangka, sakit hati. sedih dan yang sama waktu dengannya. Sampai satu tahap, saya tak tahu bagaimana hendak meneruskan hidup.
Bagaimana saya menangani dan mengawal diri dari terus berfikir negatif dan was-was?
Pertama sekali, saya tekad dalam diri ucap dalam hati, ‘Sesukar apa, sesusah mana, selama manapun aku ambil masa, aku tetap akan solat. Aku ada Allah‘. Itu pegangan saya bila emosi tertekan. Syukur, Allah tetap bantu saya solat waktu sukar tu hinggalah sekarang. Saya bertawakal setiap kali selesai solat dan berdoa agar Allah bantu saya pada solat akan datang.
Kedua, saya dekatkan diri dengan al-Quran. Ya, sebelum ini saya abaikan al-Quran. Saya abaikan atas faktor tertentu yang saya tak mahu kongsikan. Jadinya, mungkin dengan penyakit was-was ini, ia sebenarnya mendekatkan saya kembali pada Dia kembali. Saya tekad dalam hati, sesibuk mana pun hari itu, sehari harus baca satu ayat. Dan syukur juga, Allah kurniakan saya dengan al-Quran terjemahan yang bagus oleh arwah makcik. Dan bertitik tolak dari situ, saya semakin seronok membaca al-Quran. Ialah, kita sudah faham apa yang Allah sampaikan, jadi kita teruja untuk tahu lagi.
Ketiga, saya dilorongkan Allah untuk menulis dan menjual buku. Saya pernah bekerja dengan syarikat lain sebelum ini tetapi rasanya Allah hendak buka mata saya. Buka mata melihat pelbagai perangai orang diluar sana yang tak terjangka. Bila saya berhenti, saya menulis buku. Berusaha mencari rezeki yang halal. Setelah beberapa tahun menulis, saya menjual buku pula. Waktu ini, Allah perkenalkan buku-buku yang bagus melalui suami dan syarikat-syarikat penerbitan. Tiga buku pertama yang sangat terkesan pada emosi dan mental saya pada waktu itu ialah Ringkasan Riyadhus Shalihin, 300 Hadis Bimbingan dan Rasul Mulia, Umat Mulia dan Akhlak Mulia. Buku-buku ini membentuk saya untuk pulih secara berperingkat. Hingga sekarang, buku ini masih lagi menjadi rujukan saya. Allah berikan apa yang kita perlu.
Keempat, buat perkara yang kita suka dan meralitkan. Bila kita ralit, fokus dan bersemangat minda kita tidak disibukkan dengan penyakit was-was, perkara negatif, sakit hati dan kecewa. Kita teruja untuk melakukan aktiviti tersebut. Kita seolah-olah ada tujuan atau ‘target’ bila melakukannya. Saya, contohnya, suka membaca. Saya akan baca novel cinta atau thriller. Saya mahu mood cerita tersebut melindungi emosi negatif saya. Saya juga suka melakukan kraf. Dengan kraf, saya ralit, Duduk dua jam di meja pun saya ok aje. Lagi satu, hobi terbaru saya, memasak. Bila memasak, saya setkan masa berapa lama saya perlu di dapur, menu apa yang mudah, menu baru apa nak cuba, ilmu apa nak kongsi. Itu semua menyibukkan fikiran saya itu tidak terlalu fokus kepada masalah. Alhamdulillah, syukur Allah bantu.
Kelima, saya berusaha perbanyakkan zikir, doa, sedekah dan bersyukur. Benda-benda ini yang dahulu saya take for granted, saya cuba amalkan fasa demi fasa. Alhamdulillah, hati lebih tenang, emosi tak stabil cepat reda, lebih bersangka baik pada Allah, lebih banyakkan bersyukur pada banyak perkara dan Allah bantu berikan jalan saat-saat buntu. Penyakit was-was ini semakin berkurangan dalam tujuh tahun kebelakangan ini. Saya bersyukur, banyak perkara baru yang saya belajar. Dan yang terpenting sekali, jangan sesekali pinggirkan ilmu dan berasa diri bagus atau cukup. Ini sebenarnya mengundang kebodohan pada diri serta wujudnya sikap ujub. Sentiasalah mencari ilmu baru, kongsikan serta amalkan.
Bagi anda yang mengalami penyakit was-was dan berusaha untuk melawannya, keep on fighting. Don’t give up. Kata pada diri, ‘Kita ada Allah. Tenangkan diri’. Ingat pesan Nabi s.a.w ini; “Tinggalkan apa yang meragukan kamu kepada apa yang tidak meragukan kamu. Sesungguhnya kebenaran adalah ketenangan dan pembohongan adalah keraguan.” (Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ahmad daripada al-Hasan bin Ali)