Was-was, ketidakpastian, keraguan, sangsi, khuatir atau curiga, ini semua membuatkan individu atau penghidapnya hidup dalam kepompong ketakutan tersendiri. Hati ingin melakukan sesuatu yang bermakna dan betul tetapi fikiran menjadi penghalang. Terlalu banyak sangkaan dan prasangka negatif yang membantutkan usaha ke arah perlaksanaan. Bisikan-bisikan tidak baik seolah-olah menjadi ‘raja’ mendominasi keputusan. Dalam Islam, bisikan-bisikan negatif yang tidak membawa kepada sebarang kemudahan dan kebaikan ini dikatakan dibisikkan oleh syaitan. Ini jelas dinyatakan dalam firman Allah dalam surah Al-Nas 114: 5; “yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia.” Untuk mengatasi dan mengurangkan perasaan was-was, ragu, curiga, sangsi ini, ada beberapa doa untuk mengubati penyakit was-was ini.
Doa pertama.
هُوَ ٱلْأَوَّلُ وَٱلْـَٔاخِرُ وَٱلظَّـٰهِرُ وَٱلْبَاطِنُ ۖ وَهُوَ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌ
Maksudnya: Dialah Yang Awal, Yang Akhir, Yang Zahir, Yang Batin, dan Dialah yang Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Surah al-Hadid 57: 3)
Doa kedua
رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنْ هَمَزَٰتِ ٱلشَّيَـٰطِينِوَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحْضُرُونِ
Maksudnya: Wahai Tuhanku, aku berlindung kepada-Mu dari hasutan syaitan-syaitan. Dan aku berlindung kepada-Mu, wahai Tuhanku supaya syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku. (Al-Mukminun 23: 97-98)
Doa ketiga
آمَنْتُ بِاللهِ وَرُسُلُهِ
Maksudnya: Aku beriman dengan Allah dan rasul-Nya. (Kitab al-Azkar karangan Imam al-Nawawi)
Doa keempat
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ وَطَاعَتِكَ
Maksudnya: Wahai (Tuhan) yang membolak-balikkan hati-hati, tetapkanlah hatiku atas agama-Mu dan ketaatan kepada-Mu. (HR Imam Ahmad dari Aisyah r.ha)
Anda yang menghidapi dan cuba mengubati penyakit was-was ini, amalkan doa-doa ini selalu. Dengan izin Allah, perlahan-lahan Allah akan menyembuhkan. Ini kerana saya (yang menulis blog ini) pernah menghadapi penyakit ini bertahun lamanya. Syukur Allah memberi kesihatan emosi dan fikiran kembali. Jika saya diizinkan sihat, insyaAllah anda juga boleh. Lakukanlah banyak perkara baik yang termampu dalam hidup setiap hari.