Doa adalah ungkapan rahsia hati penuh harapan kepada Allah dalam mencari kekuatan ketika menghadapi ujian hidup mahupun memohon sesuatu kepada-Nya. Dalam hidup ini, kita sering dihadapkan dengan pelbagai ujian yang menguji keikhlasan, kesabaran, keberanian juga pengharapan. Melalui doa, kita menyampaikan hasrat hati yang terdalam, memohon kekuatan agar tetap teguh, berani dan berharap agar urusan yang bakal atau sedang berjalan dapat dipermudahkan. Ada satu doa mendapat kekuatan menyampaikan hasrat hati yang diajar Baginda Nabi s.a.w agar kita mendahulukan Allah dalam berhajatkan pertolongan-Nya.
رَبِّ ٱشْرَحْ لِى صَدْرِىوَيَسِّرْ لِىٓ أَمْرِىوَٱحْلُلْ عُقْدَةًۭ مِّن لِّسَانِىيَفْقَهُوا۟ قَوْلِى
Barmaksud: Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku dan mudahkanlah bagiku urusan tugasku dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, supaya mereka faham perkataanku.” (Surah Taha 20: 25-28)
Doa ini diajar Allah dan diamalkan oleh Nabi Musa a.s ketika Baginda bakal bertemu dengan Firaun dan orang-orang besarnya di zaman tersebut demi menyampaikan risalah Allah. Firaun pada waktu itu mempunyai kekuasaan yang tiada tolok bandingnya sehingga dia tanpa takut menyatakan dirinya adalah Tuhan. Allah mengutuskan hamba-Nya Nabi Musa untuk berhadapan dengan pemimpin ingkar ini. Allah persiapkan Baginda dengan mukjizat, persiapkan Baginda dengan Nabi Harun sebagai peneman juga persiapkan Baginda dengan doa agar segalanya diletakkan pada Allah sebagai tanda kekuatan dan tawakal.
Anda yang berharap ingin meluahkan rasa hati tapi risau tidak difahami oleh orang yang mendengar, cuba amalkan doa ini. Ia doa yang sangat bagus dan dikuatkan lagi doa ini di dalam al-Quran. Anda cuba amalkan doa mendapat kekuatan meyampaikan hasrat hati ini selalu dan lihat hasilnya. InsyaAllah dengan izin daripada-Nya, apa yang anda ucapkan mampu memberi kesan positif pada penerima.