Tidak ramai mampu mempunyai fikiran positif dan redha kepada Allah, apatah lagi bersyukur sewaktu ujian datang menimpa. Hanya orang-orang yang redha sahaja mampu melakukannya. Dan salah seorang yang dilihat mempunyai tahap keredhaan yang tinggi adalah cucu Saidina Abu Bakar As-Siddiq iaitu ‘Urwah bin Az-Zubair bin al-‘Awwam.
Suatu hari, ‘Urwah diundang oleh Khalifah Walid bin Abdul Malik untuk ke istananya di Syam. Dalam perjalanan, ‘Urwah merasakan sesuatu terjadi kepada kakinya. Tidak lama kemudian, timbul bisul di kakinya lalu pecah dan menjadi luka. Setibanya di Syam, Khalifah Walid mendatangkan seorang tabib untuk memeriksa luka tersebut.
Tabib menyimpulkan bahawa luka itu merupakan jangkitan kuman. Jika ia tidak segera dihentikan. ia akan merebak ke seluruh badan. Satu-satunya cara untuk menghentikan penyebaran iini adalah dengan memotong anggota kaki tersebut.
‘Urwah setuju kakinya dipotong. Tabib menyarakan agar di meminum ubat bius terlebih dahulu sebelum pembedahan dilakukan tetapi ‘Urwah menolak. Dia ingin berada dalam keadaan sedar sehingga dapat mengingati Allah meskipun mengalami kepedihan yang sangat menyeksakan.
Akhirnya tabib memotong kakinya dengan gergaji, sementara ‘Urwah dengan penuh kesabaran menyaksikan hal itu tanpa mengeluarkan suara kesakitan. Dalam masa yang sama, seorang anak ‘Urwah yang ikut bersamanya dalam perjalanan telah mengalami satu kemalangan. Seekor keldai menendangnya hingga mati.
Apabila ‘Urwah mendengar akan berita sedih ini. beliau tidak memberikan komen. Ketika dalam perjalanan pulang ke Madinah, ‘Urwah terdengar kata-kata seperti ini:
“Ya Allah, Engkau memberiku tujuh anak. Jika Engkau mengambil seorang, Engkau masih meninggalkan enam yang lain. Engkau empat anggota badan (kaki dan tangan). Jika Engkau mengambil salah satunya, Engkau masih meninggalkan tiga yang lain.”
Rujukan: Kitab Wafayat al-A’yan karya Ibn Khilikin dan kitab Siar A’lam an-Nubala’ oleh Imam adz-Dzahabi.
Buku: Rasul Mulia, Umat Mulia, Akhlak Mulia.