Redha, ketahui lima cara mendapatkannya demi kebaikan diri sendiri

Manusia selalunya sukar untuk redha. Kenapa? Ada beberapa faktor penyumbang kepada masalah ini. Pertama, harapan dan keinginan yang kuat mampu membuatkan kita merasa kecewa apabila sesuatu yang dirancang tidak berjalan seperti yang diharapkan. Kedua, rasa kehilangan atau kesakitan emosional yang kuat menyebabkan diri sukar menerima kenyataan. Ketiga, faktor perbandingan dengan orang lain dan tekanan sosial boleh menambah rasa tidak puas hati. Redha memerlukan masa dan proses untuk memproses perasaan, serta pemahaman tentang hakikat kehidupan yang kadang-kadang tidak seperti yang diinginkan.

Menurut ulama tasawuf, redha berasal dari perkataan Arab, ‘rodiyah yardo riduwanan’ yang bermaksud senang, suka, setuju, puas dan rela. Erti kata lain menerima segalanya dengan lapang dada. Untuk mencapai redha ini, lima cara manusia perlu berdamai. Pertama, senang. Sebagai hamba Allah, kita perlu belajar terima kenyataan. Jika sesuatu yang diinginkan tidak berlaku, kita dengan mudahnya terus bersangka baik kepada Allah. Jangan terlalu pertikaikan.

Kedua, suka. Bersyukur dengan apa yang diterima. Kita belajar menyukai apa yang Allah berikan atau takdir. Menolak atau marah-marah tidak langsung menenangkan hati dan perasaan kita. Belajar menyukai dan menghargai. Ketiga, setuju. Luangkan masa untuk merenung dan memahami apa yang berlaku pada diri dan sekitar. Kita bersetuju bahawa sesuatu yang berlaku ada kebaikan disebaliknya. Belajar menerima bahawa ia bagus untuk peningkatan kualiti hidup, pertumbuhan peribadi, kuat menghadapi cabaran dan memperbaiki hubungan yang baik dengan orang sekeliling (belajar memaafkan dan melepaskan).

Keempat, puas. Berpuas hati membantu kita melihat ujian sebahagian daripada perjalanan hidup dalam mematangkan diri. Dengan berpuas hati, kita lebih terbuka menerima pelajaran baru, membantu mengekalkan kesihatan emosi dan mental, fokus pada penyelesaian dan beradaptasi dengan situasi serta bersedia menhadapi cabaran lain di masa hadapan. Kelima, rela. Dengan rela menghadapi ujian, kita dapat menjalani kehidupan dengan lebih positif dan bermakna, serta menjadi lebih siap untuk menghadapi cabaran yang akan datang. Bukan itu sahaja, ujian meningkatkan empati kepada orang lain yang menghadapi ujian lebih sukar daripada kita tetapi mereka sabar menerimanya. Dapat dilihat contoh yang berlaku pada mereka di Palestin, Sudan, Congo, Iraq dan tempat lain.

 Ingat bahawa proses menerima redha memerlukan masa. Perlahan-lahan kita berusaha beradaptasi dengan lima cari tadi yang yang diajar oleh ulama lampau dan terkini. Kita bukan sahaja berusaha untuk buka buku baru tetapi juga belajar menerima apa yang berlaku dengan tenang. Dari sini, banyak masalah hidup akan selesai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *