Jangan tunggu mood baru hendak menulis

Sejak setahun dua ini, menjurnal semakin mula diminati oleh wanita dari pelbagai peringkat umur di negara kita. Lihat sahaja kemeriahan warga threads bercerita dan berkongsi tentang jurnal. Ada yang sudah lama menulis jurnal, ada yang share junk journal yang mereka buat dalam satu ke dua tahun, ada pula yang kongsi tentang jurnal kulit pertama yang mereka milik dan tak kurang juga yang sanggup melabur membeli pelbagai jenis aksesori yang ada kaitan dengan jurnal. Mereka sanggup membeli washi tape dari luar, beli sticker kiut atau yang berkaitan dengan jurnal dan belajar membuat jurnal sendiri dari bahan yang ada. Kelihatannya mereka teruja dengan aktiviti menulis dan mendekorasi dalam jurnal.

Dalam pada masa yang sama, saya melihat mereka yang mahu berkecimpung dalam bidang atau hobi atau trend menjurnal ini, tidak pasti bagaimana mahu bermula. Mereka juga seperti perlukan panduan apa yang perlu untuk menulis dalam jurnal. Ada juga tu yang beranggap menulis jurnal sama seperti diari harian. Di sini, ada beberapa post di threads yang saya komen memberikan idea kepada mereka tentang jurnal yang bagaimana mereka rasa sesuai dengan jiwa untuk mula menjurnal. Anda boleh rujuk artikel yang saya kongsikan sebelum ini, https://ekspresisyukur.com/blog/jenis-jenis-jurnal-yang-anda-boleh-tulis-sesuai-dengan-jiwa-anda/

Bila sudah pasti jurnal yang bagaimana hendak menulis atau mengekspresikan dalaman jiwa atau yang disukai, adalah penting untuk penulis jurnal cuba menulis selama paling kurang 66 hari. Kenapa saya katakan 66 hari? Ini berdasarkan kepada beberapa kajian universiti tentang mengubah sesuatu tabiat atau hobi yang baru. Hasil kajian daripada Dr. Philippa Lally, tabiat baru terbentuk dalam diri seseorang minimum selepas 66 hari, namun ia bergantung kepada individu. Ada juga kajian menyatakan paling kurang selama 21 hari iaitu 3 minggu. Dari sudut Islam pula, tabiat baru selalunya dapat dibina jika konsisten selama 44 hari.

Melihat kepada hari-hari yang diperlukan untuk ubah tabiat baru ini, tanya pada diri sendiri, ‘Bolehkan saya konsisten menulis jurnal? Bolehkan saya memberi masa dan fokus baru selama sebulan ini?’ Dan jika anda tidak kuat atau sekadar mengikut trend atau memberi alasan ‘saya tak ada mood’, anda teruskan membaca apa yang saya ingin sampaikan ini. Hopefully ia membantu.

Jangan tunggu mood baru hendak menulis. Tulis sahaja meskipun hanya beberapa patah perkataan

Perubahan mood sering muncul selepas kita mula melakukan sesuatu, bukan sebelum kita memulakannya. Ambil contoh ini. Bayangkan seorang petani. Dia tidak menunggu rasa bersemangat untuk menyiram tanamannya setiap hari. Dia akan cuba melakukannya kerana tahu bahawa untuk mendapatkan hasil daripada tanaman yang ditanam, dia perlu menyiram air setiap hari. Dan untuk dapatkan hasil yang sihat, dia perlu membaja paling kurang sebulan sekali. Konsep ini sama juga dengan kita yang ingin menjurnal. Kita kena tahu kenapa kita menjurnal, apa yang kita mahukan bila menjurnal dan apa target kita bila menulis jurnal. Jika target kita untuk refleksi diri, kita boleh menulis jurnal refleksi. Jika kita sejenis yang suka benda-benda comel dan kiut, kita boleh teruskan dengan jurnal seni atau junk jurnal. Dan jika anda punya target untuk mengubah perkara negatif dalam diri kepada positif dan sangka baik pada Allah, kita boleh mulakan dengan menulis jurnal syukur. Kata kunci bagi menulis jurnal ini adalah konsisten beberapa minit.

Ramai orang beranggapan bahawa menulis jurnal perlukan idea yang hebat, gah atau pengalaman yang luar biasa. Sedangkan hakikat sebenarnya, menulis adalah perkara yang paling sederhana yang memberi impak besar dan bermakna pada diri. Dalam jurnal syukur misalnya, kita hanya perlu mencatat beberapa perkara baik yang berlaku pada hari itu. Tak perlu panjang ayatnya. Tak perlu banyak pointnya (kecualinya memang banyak perkara baik Allah beri hari itu). Cukup sekadar kita mengahrgai, berterima kasih dan bersyukur. Antara ayat yang boleh ditulis tanda kita menghargai apa yang berlaku pada hari itu ialah:

  1. Alhamdulillah, aku dapat bersedekah sikit walaupun sedikit.
  2. Syukur hari ni encik suami bantu cuci lantai luar rumah.
  3. Dapat makan big breakfast yang sedap hasil dari anak yang masak.
  4. Dapat ziarah keluarga jauh yang lama tak jumpa. Atau mungkin…
  5. Terima kasih ya Allah berikan aku anggota badan yang dapat bergerak.

Perkara-perkara kecil seperti inilah yang sebenarnya membantu kita melihat kehidupan dari sudut yang lebih positif, ceria dan menghargai. Apabila kita menunggu mood, kita sebenarnya menyerahkan kuasa kepada emosi diri yang sentiasa berubah-ubah. Hari ini kita bersemangat, esok kita letih. Hari ini kita rasa gembira, esok kita rasa tertekan. Hari ini kita teruja, esok kita rasa macam malas. Jika tabiat menulis bergantung kepada mood, maka tabiat itu akan menjadi tidak stabil. Sebaliknya, apabila kita menjadikan menulis sebagai rutin, ia akan terus dilakukan walaupun dalam keadaan sibuk atau penat.

Salah satu rahsia penulis atau penjurnal, pengkaji dan individu yang berjaya membina tabiat menjurnal atau journaling adalah mereka letakkan target yang mahu dicapai. Target tak perlu tinggi atau grand. Target ini lebih kurang macam to-do list cuma ia bersifat jangka panjang. Sebagai contoh, masa mula-mula saya menulis dulu, target saya hanya sekadar ingin belajar bersyukur dan nak latih diri buang fikiran negatif jauh-jauh. Dan dalam masa target ini hendak dicapai, rupa-rupanya Allah berikan saya manfaat yang lain. Saya belajar sangka baik pada Dia, saya belajar kurangkan rasa jeles bila orang lain berjaya atau lebih dan saya belajar untuk melepaskan kesakitan walaupun berat.

Kedua, untuk tidak tunggu mood bila hendak menulis, kita hanya perlu tulis seringkas mungkin. Cukup beberapa patah perkataan atau beberapa perenggan. Yang penting anda usaha untuk menulis. Dapat satu ayat pun syukur. Yang penting ialah memulakan.

Dalam jurnal syukur, anda tidak perlu menulis satu halaman penuh setiap hari. Tiga perkara yang disyukuri sudah memadai. Ada hari yang terasa sangat indah dan mudah untuk ditulis. Ada juga hari yang terasa berat dan sukar mencari sesuatu untuk disyukuri. Namun pada hari-hari yang sukar itulah jurnal syukur menjadi paling berharga. Ketika fikiran dipenuhi masalah, jurnal membantu kita mengimbangi pandangan terhadap kehidupan dan takdir Allah. Ia mengingatkan diri bahawa walaupun ada perkara yang tidak berjalan seperti yang diharapkan, masih ada nikmat yang tetap Allah beri untuk meneruskan hidup.

Dan jika ada antara anda bercadang menulis jurnal refleksi diri, menulis tanpa menunggu mood membantu diri memahami emosi dengan lebih baik. Kadangkala kita tidak sedar apa yang sedang mengganggu fikiran sehingga ia ditulis di atas kertas. Proses menulis membantu mengeluarkan kekusutan yang bersarang dalam kepala kepada bertulis dan moga dengan ini Allah kurniakan kita ilham untuk selesaikannya. Mana tahukan. Bila kita dah tulis, pasti hati kita terdetik untuk berdoa agar dipermudahkan urusan.

Antara cara yang boleh naikkan mood yang memang kelaut, carilah sticker yang ceria

Jika anda sering berkata, “Nanti saya tulis bila ada masa” atau “Saya akan mula bila ada mood”, cuba ubah pendekatan tersebut. Tetapkan masa yang singkat, mungkin hanya lima minit sehari. Duduk, buka jurnal dan tulis apa sahaja yang terlintas. Menjurnal ini sebenarnya:

  • Tidak perlu sempurna.
  • Tidak perlu cantik.
  • Tidak perlu panjang.
  • Tidak perlu mahal.

Yang penting ialah halaman itu tidak kosong. Ia berisi dengan sesuatu yang bermakna. Lama-kelamaan, lima minit akan menjadi sepuluh minit. Satu ayat akan menjadi satu perenggan. Apa yang kita lihat sebagai satu permulaan usaha kecil, ia akan berkembang perlahan-lahan menjadi satu tabiat yang memberi manfaat besar kepada emosi, pemikiran, kematangan hidup dan agama secara tidak langsung.

Ingatlah bahawa tujuan utama jurnal bukan untuk menghasilkan tulisan yang sempurna. Tujuan menulis jurnal adalah untuk membantu kita mengenali diri sendiri, menghargai nikmat yang ada serta dimiliki dan menyimpan kenangan yang bermakna (bila kita baca kembali jurnal yang ditulis).

Jadi, jangan tunggu ada mood baru hendak menulis. Buka jurnal yang dibeli hari ini.

Tulis satu perkara yang anda syukuri.

Kemudian satu lagi.

Dan satu lagi.

Mungkin daripada beberapa ayat yang ringkas itulah lahirnya sebuah tabiat yang mampu mengubah cara kita melihat kehidupan setiap hari.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *