
Memaafkan diri sendiri mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan menulis jurnal atau journaling. Malah, journaling boleh menjadi salah satu cara untuk kita belajar memaafkan diri sendiri secara perlahan-lahan, belajar menerima kekurangan dan tak perlu berpura-pura bahawa kita tidak pernah melakukan kesilapan.
Kadangkala, kita mudah memaafkan kesalahan orang lain, tetapi apabila diri sendiri melakukan kesilapan, kita mengulang-ulang kejadian itu dalam fikiran. Kita menyalahkan diri, menyesali keputusan lama dan tertanya-tanya mengapa kita tidak bertindak dengan lebih baik. Kita seolah-olah tak boleh menerima. Kita mula didatangi perasaan negatif iaitu bersangka buruk. Bukan sahaja pada diri sendiri tetapi mula menyelinap perasaan sangka buruk itu pada orang lain dan Tuhan.
Perasaan ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tak kira batas usia. Ia akan kerap berlaku lebih-lebih lagi jika di belakang kita berderet-deret tanggungjawab perlu dilaksanakan sebagai ibu, isteri, anak, pekerja atau penjaga ahli keluarga. Dan salah satu cara untuk menenangkan hati dan rasa tak seronok dalam jiwa adalah dengan menulis. Tidak kisahlah sama ada anda menulis jurnal peribadi, menulis sajak, menulis cerpen ataupun menulis kata-kata motivasi diri. Menulis ini menjadi ruang peribadi untuk kita berhenti menghukum diri, memahami apa yang berlaku dan belajar melangkah ke hadapan dengan lebih tenang.
Apakah kaitan memaafkan diri sendiri dengan journaling?
Memaafkan diri sendiri bukan bermaksud kita menganggap semua kesilapan sebagai perkara biasa atau tidak perlu bertanggungjawab atas perbuatan kita. Salah tetap salah. Cuma, ia bermaksud kita mengakui kesilapan, menerima bahawa kita juga manusia yang tidak sempurna, kita ada kelemahan di beberapa bahagian dan cuba belajar memberi peluang kepada diri untuk berubah dan menambah ilmu baru.
Journaling membantu proses memaafkan diri ini melalui beberapa cara.
A. Mengeluarkan perasaan yang terpendam
Adakalanya kita tidak tahu bagaimana hendak menceritakan rasa bersalah kepada orang lain atau masalah kepada orang lain. Kita takut dihakimi, orang tidak faham atau tidak mahu membebankan orang lain dengan masalah kita (mereka sendiri pun ada masalah lain perlu dihadap).
Dengan menulis, kita dapat meluahkan perasaan dan emosi dalam diri secara jujur tanpa perlu menyusun ayat yang cantik.
Contohnya:
- Saya rasa sedikit menyesal kerana pernah menyakiti hati mama.
- Saya rasa macam berfikiran singkat sangat sebab terjadinya masalah ni.
- Saya rasa macam menyusahkan Kak Yanti aje bila dia terpaksa check barang yang hilang tu.
- Aku kena banyak-banyak bertenang bila masalah lain datang lain kali.
Apabila perasaan yang berserabut mula ditulis, kita berpeluang melihatnya dengan lebih jelas. Kita dapat mengenal pasti perkara yang masih boleh diperbaiki dan perkara yang sudah berada di luar kawalan kita. Dari sini, kita belajar merancang agar masalah dapat diselesaikan atau masalah tidak berulang dua kali.
B. Membezakan kesilapan dengan nilai diri
Ada perbezaan besar antara mengatakan:
- “Saya telah melakukan kesilapan” dengan “Saya memang seorang yang gagal.”
Ayat pertama mengakui satu perbuatan. Ayat kedua menjadikan kesilapan itu seolah-olah keseluruhan identiti kita. Melalui journaling, kita belajar melihat kesilapan sebagai sesuatu yang berlaku dalam kehidupan, bukannya bukti bahawa diri kita tidak berharga. Ingatkan diri yang setiap perkara yang pahit atau perit, ia mengajar sesuatu yang berharga buat diri kita.
C. Melihat pengalaman lama daripada perspektif baharu
Apabila kita menulis tentang pengalaman lama, kita boleh bertanya kepada diri sendiri: Apakah yang saya tahu ketika itu? Apakah tekanan yang sedang saya hadapi? Apakah yang saya fahami sekarang yang belum saya fahami dahulu?
Ini membantu kita menilai pengalaman dengan lebih adil, tanpa menafikan kesakitan atau tanggungjawab yang terlibat. Kita belajar melihat dari kacamata perspektif yang berbeza.

Apakah kelebihan memaafkan diri sendiri?
- Mengurangkan beban rasa bersalah: Apabila kita terus menghukum diri atas kesilapan yang lalu, fikiran boleh terperangkap dalam penyesalan. Kita susah nak move on. Jadi, belajar memaafkan diri membantu kita mengakui perasaan itu tanpa perlu terus memikul hukuman emosi selama-lamanya. Belajar untuk melepaskan.
- Membina belas kasihan terhadap diri sendiri: Kita sering memberi kata-kata semangat kepada sahabat yang sedang bersedih, tetapi bersikap keras terhadap diri sendiri. Perkara ini salah. Bukan kita tidak menidakkan kesalahan yang dilakukan cuba jangan terlalu keras pada diri sendiri hingga menyakitkan diri sendiri atau orang yang menyayangi kita.
- Membantu kita belajar daripada kesilapan: Daripada bertanya, “Mengapa saya begitu bodoh?”, kita boleh bertanya, “Apakah yang boleh saya pelajari daripada pengalaman ini?” Soalan seperti ini mengalihkan perhatian dan persepsi minda kita daripada menghukum diri kepada usaha memperbaiki diri. Ingat! Setiap apa yang berlaku ada pelajaran yang Allah titipkan untuk kita belajar dan perbaiki diri.
- Membantu mengurus emosi dengan lebih baik: Menulis tentang emosi boleh membantu kita mengenal pasti pencetus kesedihan, kemarahan atau rasa malu. Kesedaran ini boleh memudahkan kita memilih tindak balas yang terbaik dan bagaimana untuk berhadapan dengan situasi yang sama akan datang.
- Membantu kita melepaskan perkara yang tidak boleh diubah: Masa lalu tidak boleh diubah, tetapi cara kita memahami, belajar dan beradaptasi itu yang penting. Memaafkan diri sendiri secara tidak langsung membuka lebih banyak ruang positif dalam kehidupan dan pilihan yang masih boleh dibuat.
- Membuka ruang untuk rasa syukur: Kita mula menyedari bahawa walaupun ada perkara yang kita kesali namun, masih ada pengajaran, peluang untuk berubah, insan yang menyayangi kita dan nikmat kecil yang dihargai setiap hari. Syukur tidak menghapuskan kesedihan, tetapi membantu kita melihat kehidupan dengan lebih menyeluruh.
Kelebihan ini bukan bermakna semua orang akan terus berasa lega selepas menulis. Ada ketika kita akan dibayangi juga dengan kesalahan dan penyesalan lalu. Kita akan mengambil sedikit masa untuk itu. Proses memaafkan diri memerlukan masa dan tidak berlaku dalam masa sehari dua. Dan journaling, terutama sekali menulis perkara-perkara baik dan pelajaran yang diterima akibat kesalahan atau perbuatan masa lalu yang tidak baik dapat kita jadikan panduan buat mengharungi kehidupan di masa hadapan.
Bagaimana hendak menggunakan journaling untuk memaafkan diri?
Anda tak perlu menulis panjang-panjang atau menggunakan ayat yang puitis. Luangkan sekitar 5–10 minit dan jawab soalan berikut mengikut kemampuan sendiri.
Langkah 1: Akui apa yang anda rasa: Apakah perkara yang saya kesali atau stres? Apakah perasaan yang timbul bila mengingatinya?
Langkah 2: Fahami diri sendiri: Apakah yang sedang saya lalui ketika itu? Apakah yang menyebabkan saya buat keputusan seperti itu? Adakah saya mempunyai maklumat yang mencukupi untuk membuat keputusan yang lebih baik?
Langkah 3: Ambil pengajaran: Apakah yang boleh saya pelajari dari apa yang berlaku? Adakah sesuatu yang masih boleh saya perbaiki atau betulkan?
Langkah 4: Berikan diri peluang untuk berubah: Apakah satu tindakan kecil yang boleh saya lakukan hari ini untuk menjadi lebih baik daripada semalam? Apakah harapan saya dimasa hadapan bila situasi ini berlaku atau berulang?

Bagaimana pula dengan memaafkan diri melalui jurnal kesyukuran?
Jurnal kesyukuran boleh menjadi pelengkap yang baik kepada latihan belajar memaafkan diri. Apabila kita terlalu memikirkan kesilapan, kita mungkin terlupa bahawa kehidupan kita bukan hanya terdiri daripada perkara yang tidak menjadi seperti dirancang atau kesakitan.
Kita masih mempunyai perkara untuk disyukuri: peluang belajar, pengalaman yang mematangkan diri, orang yang membantu kita, kesihatan yang masih ada atau kekuatan untuk mencuba semula.
Bagi seseorang yang melihat kehidupan melalui perspektif Islam, proses ini juga boleh menjadi ruang untuk merenung rahmat Allah, memperbaiki diri dan belajar menerima bahawa manusia tidak sempurna. Antara soalan yang boleh ditulis dalam jurnal kesyukuran ialah:
- Apakah satu pengajaran daripada kesilapan saya yang boleh saya syukuri hari ini?
- Apakah kebaikan dalam diri saya yang masih wujud walaupun saya pernah melakukan kesilapan?
- Siapakah yang pernah memberi saya peluang kedua?
- Apakah nikmat kecil yang saya terlepas pandang ketika terlalu menyalahkan diri?
- Apakah satu perkara yang boleh saya lakukan hari ini sebagai tanda saya mahu memperbaiki diri?
- Apakah harapan saya di masa hadapan untuk diri sendiri?
Penting untuk diingatkan: bersyukur bukan bermaksud kita perlu berterima kasih atas setiap kesakitan yang dialami atau menafikan kesalahan yang telah dilakukan. Kita boleh menyesali sesuatu, berusaha membetulkannya dan pada masa yang sama tetap menghargai nikmat yang masih ada. Hidup ini ada pasang surut dan ujiannya.
Dan salah satu cara yang anda boleh praktikkan ilmu menulis sambil mencari pengajaran di sebalik masalah dan ujian adalah anda boleh cuba menulis di dalam Jurnal Pelengkap Kegembiraan yang menyediakan ruang untuk anda mengenal diri sendiri. Bukan setakat itu sahaja, ia membantu penulis membina kembali harapan agar apa yang telah berlalu atau perkara lepas yang menyakitkan, kita berharap ia tidak berulang atau ada jalan penyelesaian yang dapat membantu naikkan semangat diri.
Anda juga layak menerima kebaikan daripada diri sendiri.
Kadangkala, perkara paling sukar bukanlah memaafkan orang yang pernah menyakiti kita. Perkara paling sukar ialah memaafkan diri sendiri atas keputusan yang kita sendiri buat, peluang yang kita lepaskan dan perkara yang kita harap dapat dilakukan dengan lebih baik.
Namun, kita tidak perlu menghabiskan seluruh hidup dengan menghukum diri atas satu bab yang telah berlalu.
Gunakan elemen menulis sebagai ruang untuk bercakap dengan diri sendiri secara jujur. Akui kesilapan. Ambil pengajaran. Hargai perubahan kecil. Dan apabila anda belum mampu memaafkan diri sepenuhnya, tulislah sahaja:
“Hari ini, saya mungkin masih menyesal. Tetapi saya mahu belajar daripada apa yang berlaku. Saya tidak boleh mengubah masa lalu, namun saya masih boleh memilih bagaimana saya mahu menjalani hidup pada hari ini dan masa hadapan.”

