
Beberapa hari lepas, ada seorang warga Threads post pertanyaan, apakah amalan terbaik untuk hilangkan kerisauan. Bila saya nampak aje perkataan risau tu, terus saya teringan buku Dale Carnagie bertajuk How to stop worrying and start living. Buku ni sangat membuka mata saya bahawa kerisauan yang melampau tidak membawa kita ke mana-mana. Kita kena ubah mindset, ubah tanggapan, banyak sangka baik pada Allah, usaha untuk sihat, sibukkan diri buat perkara yang kita suka atau ralitkan kita dan banyak lagi tip yang bagus dalam buku ni. Bukan itu sahaja, case study orang yang ada dalam buku ini juga betul, sahih dan pesakit yang pernah hadapi masalah kerisauan dan tekanan yang melampau bertahun-tahun.
Ini saya kongsikan salah satu tip untuk memupuk minda supaya tenang dan bahagia iaitu ‘Lapan perkataan dapat mengubah hidup kita’ dari buku yang bagus ini. Saya kongsikan juga 2 kisah dari dalam bab ini agar ia juga dapat bantu anda untuk kurangkan kerisauan dalam diri. Bacalah.
Beberapa tahun lalu, saya pernah diajukan soalan ini dalam sebuah rancangan radio, “Apakah pengajaran terbesar yang pernah saya perolehi?”
Jawapannya mudah sahaja. Saya dapat mempelajari betapa pentingnya apa yang kita fikirkan. Sekiranya saya tahu apa yang kita fikirkan, saya pasti tahu siapakah diri kita sebenarnya. Fikiran kita menentukan siapa diri kita. Emerson pernah berkata, “Apa yang difikirkan oleh seseorang itu sepanjang hari, itulah dirinya.” Seorang ahli falsafah terkenal yang pernah memerintah Empayar Rom, Marcus Aurelius, merumuskan segalanya dalam lapan perkataan. Lapan patah perkataan ini dapat menentukan nasib masa hadapan kita iaitu ‘Our life is what our thoughts make it’ atau dalam terjemahanan Bahasa Melayunya berbunyi ‘Kehidupan kita adalah apa yang kita fikirkan’.
Ya, sekiranya kita memikirkan tentang hal yang menggembirakan, kita pasti berasa gembira. Sekiranya kita memikirkan tentang hal yang menyedihkan, kita pasti berasa sedih. Sekiranya kita memikirkan hal yang menakutkan, kita pasti berasa takut. Sekiranya kita memikirkan tentang sakit, kita akan jatuh sakit. Sekiranya kita memikirkan tentang kegagalan, kita pasti gagal. “Kita bukannya seperti apa yang kita fikirkan, tetapi kita adalah apa yang kita fikirkan.” kata Norman Vincent Peale.

Adakah ini bermakna saya mengajak supaya kita bersikap terlampau optimis tentang semua masalah? Tidak. Kerana hidup kita ini tidak semudah itu. Tetapi saya bersetuju kita perlu bersikap positif dan bukannya negatif. Dalam erti kata lain, kita perlu prihatin tentang masalah kita, tetapi bukannya berasa bimbang.
Berdasarkan pengalaman saya mengajar orang dewasa selama bertahun-tahun, saya tahu setiap orang dapat mengusir perasaan bimbang, ketakutan, dan pelbagai jenis penyakit serta dapat mengubah kehidupan mereka dengan hanya mengubah cara pemikiran mereka.
Di sini saya ingin bawakan satu contoh bagaimana transformasi ini berlaku pada pelajar saya. Contoh ini memberikan gambaran betapa hebatnya kuasa yang dimiliki oleh minda kita.
Beliau memberitahu saya, “Saya selalu membimbangkan banyak hal. Saya bimbang terlalu kurus, kerana saya rambut saya sudah mula gugur, kerana saya takut tidak mempunyai wang yang cukup untuk melangsungkan perkahwinan, kerana merasakan saya tidak mampu menjadi ayah yang baik, kerana saya takut kehilangan gadis yang dicintai, kerana merasakan saya tidak dapat hidup bahagia. Saya bimbang tanggapan orang lain terhadap saya.”
“Kini saya tidak mampu lagi bekerja, dan terpaksa meletakkan jawatan. Hal ini menyebabkan saya tertekan. Tekanan yang saya alami semakin hari semakin berat sehingga tidak tertanggung. Ia perlu segera dilepaskan dan saya berjaya. Sekiranya kita tidak pernah mengalami gangguan jiwa, berdoalah pada Tuhan supaya dilindungi diri kita daripada penyakit ini kerana tidak ada penyakit fizikal lain yang dapat mengatasi penderitaan penyakit mental.”
“Gangguan perasaan yang saya alami ini amat berat sehingga saya tidak mampu berbicara dengan sesiapa jua walaupun dengan ahli keluarga sendiri. Minda saya sudah tidak dapat dikawal lagi kerana diselubungi ketakutan. Kadangkala saya juga menangis dengan sendirinya tanpa sebarang sebab. Setiapa hari adalah penderitaan untuk diri saya. Saya rasa diri saya seperti dipinggirkan, tiada siapa yang ambil peduli. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja saya terjun ke dalam sungai.”
“Namun, saya membatalkan hasrat mahu membunuh diri. Saya mengambil keputusan berhijrah ke Florida. Dengan harapan angin Florida dapat membanti menyelesaikan masalah. Sebaik kaki saya melangkah masuk ke dalam keretapi, ayah saya menghulurkan sepucuk surat kepada saya. Beliau berpesan supaya jangan buka selagi belum tiba di Florida.”
“Sebaik tiba di Florida, kelihatan ramai pelancong di situ kerana ketika itu kemuncak musim pelancongan. Mahu tak mahu saya terpaksa menyewa bilik tidur di sebuah garaj. Saya cuba dapatkan pekerjaan di atas kapal pengangkutan di Miami tetapi hampa. Jadi saya banyak menghabiskan masa di pantai. Keadaan saya di Florida lebih teruk berbanding di rumah.”
“Tiba-tiba saya teringat sampul surat yang ayah berikan. Saya membukanya lalu membaca, ‘Kehadapan anakandaku, kini kamu berada 1500km dari kampung halaman, dan ayahanda pasti kamu tidak merasai sebarang perbezaan, bukan? Ayahanda tahu kerana punca segala masalah sudah kamu bawa bersama ke Florida. Puncanya tidak lain dan tidak bukan adalah diri kamu sendiri. Sebenarnya tidak ada yang tidak kena tentang diri kamu sama ada dari segi fizikal ataupun mental. Maslaah yang kamu alamai sekarang bukannya disebabkan situasi yang kamu hadapi, sebaliknya disebabkan oleh cara kamu memikirkan situasi itu. Apa yang kamu fikirkan dalam hati itulah diri kamu. Oleh itu apabila sudah sedar kelak, pulanglah, kamu pasti akan sembuh.”
“Surat ayah itu benar-benar buat saya naik darah. Apa yang saya harap daripada surat itu adalah simpati dan bukannya arahan. Perasaan marah saya sudah tidak dapat dibendung lagi dan pada masa sama saya bertekad tidak mahu pulang ke kampung halaman selama-lamanya. Namun, pada malam itu, sewaktu menyelusuri sebatang jalan di Miami, saya ternampak sebuah gereja sedang menjalankan ritual keagamaan. Memandangkan saya tidak punya destina lain, saya pun masuk ke dalam gereja untuk mendengar khutbah. Masej yang disampaikan oleh khutbah utu rupa-rupanya sama seperti apa yang ditulis ayah saya.”
“Dengan serta merta segala masalah yang berserabut hilang. Buat pertama kalinya dalam hidup, saya dapat berfikir dengan jelas dan bijaksana. Saya sedar betapa teruknya saya selama ini. Saya berazam mahu mengubah diri dan seluruh umat manusia di bumi agar tidak lagi berasa bimbang. Apa yang perlu saya lakukan sekarang hanyalah mengubah fokus lensa kamera dan fokus, kerana ia adalah ibarat minda kita.”
“Pada keesokan harinya, saya mula mengemas dan bersiap sedia untuk pulang. Seminggu selepas itu, saya kembali bekerja. Empat bulan kemudian, saya melangsungkan perkahwinan dengan gadis yang saya takut kehilangannya suatu masa dahulu. Kini kami hidup bahagia di samping lima cahaya mata. Syukur pada Tuhan kerana mengurniakan kesihatan fizikal dan mental kepada saya. Setiap kali detik-detik keresahan cuba menyelinap masuk ke dalam minda (semua orang mengalaminya), saya cuba beritahu kepada diri supaya pastikan kamera terus kekal pada fokus. Sekiranya fokus dapat dikekalkan, semuanya pasti akan menjadi baik,”

Kisah kedua pula tentang perubahan seorang rakan yang saya kenali iaitu H. J. Englert. Beliau masih lagi hidup sehingga sekarang kerana berjaya menemui rahsia berlagak ceria dan kasih sayang. 10 tahun yang lalu Englert menghidap demam skarlet. Sebaik pulih, beliau menghidap nefritis pula iaitu sejenis penyakit buah pinggang. Ramai doktor beliau temui. Kemudian, tidak lama selepas itu, beliau mendapat komplikasi lain pula. Tekanan darah melonjak terlalu tinggi, lalu beliau berjumpa doktor. Doktor memberitahu tekanan darahnya sudah mencecah paras 214. Keadaan itu boleh membawa maut.
“Sebaik sahaja pulang ke rumah, saya pastikan semua insurans saya sudah dijelaskan, kemudian bertaubat dan memohon ampun kepada Tuhan atas segala dosa dan akhir sekali saya memutuskan mahu bermeditasi,” katanya.
“Tindakan saya membuatkan semua orang bersedih. Isteri dan keluarga saya turut sengsara sedangkan diri saya masih mengalami perasaan murung. Walau bagaimanapun, selepas seminggu bergelumang dengan rasa murung, saya kata kepada diri sendiri, ‘Kamu bertindak seperti orang dungu! Dalam tempoh setahun ini, belum tentu lagi kamu akan mati, jadi mengapa kamu tidak mencuba bergembira sementara kamu masih berada di sini?”
“Lalu saya bersandar sambil menguntumkan senyuman pada wajah dan cuba berlagak seolah-olah segalanya adalah normal. Saya akui agak sukar buat pertama kali, tetapi saya memaksa diri supaya berasa selesa dan ceria. Ternyata hal ini bukan sahaja membantu keluarga saya, tetapi juga dapat membantu diri saya.”
“Kesan pertama yang dapat saya rasakan adalah kesihatan saya semakin baik. Keadaannya hampir sama sebagaimana semasa saya berlagak sihat sebelum ini! Semakin hari keadaan kesihatan saya bertambah baik. Sekiranya mengikut ramalan doktor, genaplah sebulan saya berada di dalam kubur. Sebaliknya sekarang saya bukan sahaja berasa gembira, sihat, dan masih lagi hidup malah tekanan darah saya juga menurun. Saya memberi badan saya satu peluang untuk sembuh dengan sendiri hanya dengan cara mengubah pemikiran saya!”
Mari kita ingat semula kata-kata William James, “Kebanyakan perkara yang kita panggil sebagai kejahatan, selalunya dapat berubah menjadi perkara yang baik dengan mudahnya apabila si pesakit mengubah pemikirannya daripada seorang penakut bertukar menjadi seorang pejuang.”
Dari sudut pandang Islam pula, ada beberapa hadis yang sesuai untuk belajar redha, sabar, tenang dan bahagia. Antara adalah hadis ini, daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Jika kamu ditimpa sesuatu (kegagalan atau musibah), maka janganlah kamu mengatakan: ‘Seandainya aku berbuat demikian, pastilah tidak akan begini atau begitu’. Tetapi katakanlah: ‘Ini telah ditakdirkan oleh Allah dan Allah berbuat sesuai dengan apa yang dikehendakinya’. Kerana sesungguhnya perkataan ‘seandainya’ akan membuka pintu perbuatan syaitan.” (HR Muslim No. 2664).
Dan ini adalah peraturan pertama sekiranya ingin memupuk minda kita supaya sentiasa tenang dan bahagia iaitu; Berfikir dan bertindaklah dengan ceria, nescaya kita pasti berasa bahagia.

