15 Teknik Mudah Menutup Kesalahan Ketika Menjurnal

Pernahkah anda sedang menulis jurnal, tiba-tiba tersalah eja satu perkataan? Atau ketika cuba menghias halaman dengan bunga dan corak yang cantik, hasilnya tidak seperti yang dibayangkan? Ini saya kongsikan 15 teknik mudah menutup kesalahan ketika menjurnal.

Mungkin anda terus berhenti menulis kerana tidak mahu halaman jurnal kelihatan buruk. Lebih-lebih lagi jika anda baru mula menjurnal dan melihat hasil karya orang lain di media sosial yang begitu kemas, tersusun dan menarik. Itu yang saya alami juga dahulu masa mula-mula menjurnal sewaktu COVID. Bila lukis doodle tak sama bentuklah, bila tersilap tulis perkataanlah, tiba-tiba dakwat pen habis dan sticker termelekat dekat tempat tak sepatutnya.

Jangan risau. Anda tidak keseorangan!

Bagi wanita berusia 30 tahun ke atas dan nak belajar menjurnal, sebenarnya menjurnal ni boleh menjadi satu ruang untuk berehat daripada kesibukan menguruskan keluarga, pekerjaan dan pelbagai tanggungjawab kehidupan. Menjurnal buat kita lihat masalah yang dihadapi sebenarnya tidaklah sebesar mana jika dibandingkan dengan nikmat yang banyak Allah beri setiap hari (sebab saya tulis jurnal syukur, jadinya saya divert benda negatif yang stres ke perkara positif). Kita tidak perlu menjadi seorang penulis atau pelukis profesional untuk menikmati aktiviti ini. Kita hanya perlu menjadi diri kita dan belajar beberapa teknik baru untuk upgrade diri.

Malah, kesalahan kecil ketika menulis atau menghias jurnal bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan. Ada pelbagai cara kreatif untuk menutup atau membaikinya tanpa perlu membuang halaman yang sudah ditulis. Kita hanya perlu twist skit cara yang biasa dilakukan untuk ‘tampal’ kesalahan atau kesilapan yang dilakukan.

Jom saya kongsikan 15 teknik mudah menutup kesalahan ketika menjurnal yang boleh dicuba dan dipraktikkan bila anda mula hendak berjinak dengan aktiviti menjurnal (tak kisahlah jurnal apa pun).

1. Gunakan correction tape / correction pen untuk betulkan kesalahan perkataan.

Ini antara cara paling mudah untuk menutup kesalahan ejaan atau perkataan yang tersalah tulis. Anda hanya perlu menyapu correction tape atau saya guna liquid paper pada bahagian yang tersalah tulis agar dapat menulis semula perkataan yang betul.

Pilih correction tape yang mudah digunakan dan tidak terlalu tebal supaya permukaan kertas kekal kemas. Namun, jika anda menggunakan pen berdakwat basah, pastikan dakwat sudah kering sebelum membaikinya.

Correction tape atau correction pen untuk menutup kesalahan perkataan

2. Tampalkan washi tape bercorak

Rasanya, kita semua yang menjurnal ada washi tape. Kita gunakan aje washi tape atau pita hiasan ni untuk tampal di tempat yang tersilap. So, jurnal kita akan nampak ceria skit. Dan kita boleh sambung tulis di sebelah washi tape ditampal tadi. Bila kita tampal washi tape yang pelbagai warna dan corak, seperti bunga, daun, rama-rama dan bentuk geometri, secara tak langsung, kita tambah lagi kegunaan washi tape.

Kita kena ingatkan diri, washi tape ni boleh menjadi sempadan hiasan untuk halaman jurnal anda juga. Pilih warna yang sepadan dengan tema supaya halaman kelihatan lebih tersusun.

Washi tape yang pelbagai corak, mampu ceriakan jurnal kita.

3. Gunakan sticker untuk menutup kesalahan kecil

Alamak!! Tersilap tulislah. Nak buat macam mana?

Jangan risau. Sticker dan jurnal berpisah tiada. Silap aje, kita tepek sticker kat tempat silap. Kita boleh tepek sticker bentuk bunga, hati, bintang, rama-rama atau apa aje yang dalam koleksi sticker kita.

Sticker kita hanya ada yang besar aje? Don’t worry, kita gunting aje jadi kepingan kecil. As long berfungsi dengan jayanya menutup kesalahan, ok je…

Standby sticker yang sesuai untuk deko & tampal kesalahan tulisan kita

4. Tampalkan label kertas dan tulis semula

Jika kesalahan melibatkan satu ayat yang agak panjang, gunakan sekeping kertas kecil sebagai label. Kita gunting aje kertas pelbagai warna yang ada dalam stok dan tampal kat area mana yang silap tu. Bila dah tampal dan tulis balik, anda akan perasan tetiba je jurnal kita jadi macam ”wow’.

Aktiviti bermain dengan kertas warna juga best bila buat silap

5. Cipta kolaj daripada cebisan kertas

Jangan buang cebisan kertas bercorak yang masih elok. Anda boleh menggunakannya untuk menghasilkan kolaj kecil pada halaman jurnal. Anda juga boleh gunakan kertas terpakai ni untuk menampal bahagian-bahagian tertentu untuk menutup kekurangan yang tak sengaja terbuat.

Contohnya, jika terdapat kesan dakwat yang besar, tampalkan beberapa cebisan kertas secara berlapis sehingga kawasan tersebut tertutup. Gabungkan corak bunga, warna lembut atau potongan kertas apa sahaja. Kemudian cuba tulis atau gantikan dengan perkataan yang diingini dengan menggunting keratan majalah. Hasilnya pasti berbeza daripada perancangan asal, tetapi itulah keunikan aktiviti kreatif yang dimiliki kita bila terdesak.

6. Warnakan kawasan yang tersilap

Contohlah kita tersilap tulis perkataan Alhamdulillah (mungkin kita terdouble huruf m). Jangan stres sangat. Kita cuba warnakan kawasan yang tersilap tu dengan warna gelap. Bila dah kering je warna tu, kita tulis balik perkataan yang betul di atasnya dengan pen yang berwarna kontra. Pasti lepas tu orang takkan tahu yang kita sebenarnya dah buat silap. Orang hanya nampak ia cara terkini yang boleh ditiru.

Jurnal tetiba jadi artistik bila dah ada warna lain dari lain ni.

7. Lukis bingkai di sekeliling kawasan yang salah

Kadangkala, garisan atau perkataan yang tersasar boleh diubah menjadi bingkai untuk tulisan atau petikan. Contohnya, jika kita nak tulis sesuatu kat tepi mukasurat atas atau bawah, sekali tersilap. Takkan tulisan pen nak padam dengan pemadam kan. Jadinya kita kreatif sikit dan jadikan ia bingkai simple yang bermakna.

Teknik ini sesuai untuk mereka yang mahu menghias jurnal tetapi tidak begitu yakin dengan kemahiran melukis.

Kan nampak artistik skit bila kita buat kesilapan dan tampal sebegini.

8. Jadikan kesalahan tulisan sebagai hiasan

Jika anda tersalah menulis tajuk atau huruf tertentu, cuba kreatifkan diri dengan menebalkan huruf, menambah bayang-bayang atau melukis garisan dekoratif di sekeliling perkataan.

Walau bagaimanapun, cara ini lebih sesuai untuk kesalahan kecil yang masih boleh diubah tanpa menjejaskan maksud tulisan.

Mungkin masa menulis tulisan kita ada kecil dan besar. Biarkan aje. Janji kita faham apa ditulis.

9. Sambungkan garisan menjadi corak bunga atau daun

Jika anda tersalah membuat garisan ketika menghias jurnal, jangan terus memadam atau menutupnya. Cuba perhatikan bentuk garisan tersebut. Mungkin anda boleh cuba menyambungkannya menjadi ranting, daun, bunga kecil atau corak geometri yang sesuai. Bila dah sambung-sambung tu, pasti akan tercipta design yang lain dari mukasurat lain dalam jurnal.

Bagi wanita yang gemar unsur alam, corak bunga dan daun boleh menjadikan jurnal kelihatan seperti tempat kita mengekspresikan rahsia diri. Anda tidak perlu pandai melukis dengan sempurna. Mulakan dengan bentuk daun yang ringkas dan garisan yang mudah.

Kita lukis aje apa yang patut bila dah tersilap. Janji comel.

10. Tukarkan contengan kepada corak abstrak

Kadangkala, pen yang bergerak tanpa sengaja boleh meninggalkan contengan pada halaman jurnal. Daripada terus berasa kecewa sebab dah terconteng, cuba jadikannya corak abstrak. Tambahkan bulatan, titik atau garisan berulang di sekelilingnya.

Teknik ini mungkin akan buat anda terkejut sendiri bila lihat bagaimana contengan kecil tadi boleh menjadi sebahagian daripada reka bentuk yang menarik dalam penulisan jurnal kita.

Corak ini simple je. Tapi mampu menarik mata untuk akui kecantikannya.

11. Gunakan gambar kecil atau imej bercetak

Gambar pemandangan, bunga, makanan kegemaran atau kenangan bersama keluarga juga boleh digunakan untuk menutup kawasan yang kurang kemas. Pilih gambar yang mempunyai makna kepada apa yang kita hendak tuliskan pada hari itu. Contohnya, gambar secawan teh boleh mengingatkan anda tentang waktu berehat, manakala gambar bunga boleh membawa kenangan tentang seseorang yang istimewa. Dengan cara ini, halaman jurnal yang tersilap itu bukan sahaja kelihatan lebih menarik, malah menjadi lebih bermakna dengan apa yang kita tampalkan.

Sticker berkonsepkan Malaysia pasti membantu kita untuk cover kesalahan sebab ada banyak pilihan untuk kenangan.

12. Cipta poket atau lipatan kertas

Jika kesalahan berlaku pada bahagian tepi atau bawah halaman, anda boleh menutupnya dengan poket kertas. Lipatan ini boleh digunakan untuk menyimpan nota kecil, gambar atau senarai perkara yang anda syukuri.

Bagi jurnal syukur, anda boleh menulis beberapa perkara yang menggembirakan anda pada sekeping kertas kecil dan menyimpannya di dalam poket tersebut. Jika ruang menulis adalah terhad, teknik ini juga sangat sesuai. Ini menjadikan aktiviti menjurnal lebih interaktif dan menyeronokkan.

Menggunakan kaedah sampul ni sangat sesuai untuk banyak perkara dan salah satunya kita sayang nak potong kenangan yang ada.

13. Potong satu garisan pada perkataan yang salah

Anda tidak semestinya perlu menutup setiap kesalahan tulisan. Jika tersalah menulis perkataan, potong perkataan tersebut dengan satu garisan nipis dan tulis perkataan yang betul di sebelahnya. Ini cara paling sesuai untuk jurnal peribadi yang lebih menekankan kejujuran berbanding penampilan.

Lagipun, jurnal ialah tempat kita mencatat fikiran dan perasaan sebenar. Ia tidak perlu kelihatan seperti hasil cetakan yang sempurna. Nothing perfect k.

14. Jadikan kesalahan susun atur sebagai elemen hiasan

Jika tersalah menyusun nombor, titik senarai atau simbol, anda boleh ubahnya menjadi elemen hiasan. Contohnya, nombor yang tersasar boleh diletakkan di dalam bulatan, manakala titik senarai boleh ditukar menjadi simbol bintang atau hati.

Tambahkan sedikit kreativiti tanpa perlu menghias seluruh halaman. Kaedah ini secara tak langsung bantu kita belajar menyesuaikan reka bentuk dengan keadaan sebenar, bukannya terlalu terikat pada perancangan awal.

15. Tukarkan kesalahan menjadi ruang untuk bersyukur

Inilah cara yang paling bermakna, khususnya jika anda menulis jurnal syukur. Jika sesuatu bahagian tidak menjadi seperti yang diharapkan, tutup kawasan tersebut dengan sekeping kertas kecil. Kemudian, tuliskan satu perkara yang anda syukuri pada hari itu.

Contohnya: “Hari ini saya bersyukur kerana diberi peluang untuk belajar sesuatu yang baharu. Tidak mengapa jika saya belum mahir. Tiada apa yang sempurna.”

Kadangkala, kesalahan kecil ketika menjurnal boleh mengingatkan kita bahawa kehidupan juga tidak selalu berjalan mengikut perancangan.

Kesimpulan: Jurnal Anda Tidak Perlu Sempurna

Bagi wanita sama ada sudah berkeluarga atau punya komitmen tertentu, kehidupan mungkin sudah dipenuhi dengan pelbagai perkara yang perlu difikirkan dan diselesaikan. Jangan sampai aktiviti yang sepatutnya menjadi ruang untuk menenangkan diri turut menjadi satu lagi perkara yang membebankan.

Anda ingin cuba menulis jurnal bila anda lihat orang di luar sana kembali minat menulis diari dan jurnal private. Mereka seoalh-olah lega selepas meluah pada tempat yang dirasakan selamat. Tapi, anda tidak tahu bagaimana hendak bermula. Anda juga takut jika bila menulis nanti, anda buat silap atau mungkin tidak sampai expectation yang diharapkan.

Menulis jurnal ini mudah. Tulislah apa sahaja yang diminati, diingin, dihargai atau ingin diperbaiki. Dan dalam pada proses menulis itu, pasti ada berlaku beberapa kesilapan yang tidak kita jangkakan. Dan ingatkan diri, setiap kesilapan pasti ada pelajaran baru yang Allah mahu kita belajar dan ambil peringatan.

Dan ini, untuk anda yang baru menulis jurnal, jika ada melalukan beberapa kesilapan sepanjang proses menulis, gunakan teknik mudah yang saya kongsikan ini. Mana tahu, hasil daripada kesilapan tersebut, anda menjadi mahir dalam menutupi perkara yang silap dengan sesuatu yang indah.

Jika tersalah eja, baiki sekadar yang perlu. Jika corak tidak menjadi, cuba ubahnya menjadi sesuatu yang baharu. Jika halaman kelihatan kurang kemas, ingatlah bahawa nilai jurnal tidak terletak pada kecantikannya semata-mata. Yang lebih penting ialah apa isi yang kita tulis di dalam jurnal itu.

Jika anda ingin mula membina kebiasaan bersyukur, jurnal syukur Pelengkap Kegembiraan boleh menjadi teman untuk mencatat perkara yang anda hargai dan pelajari setiap hari. Mulakan dengan perkara yang kecil. Mungkin hari ini anda bersyukur kerana dapat menikmati secawan minuman kegemaran, mendengar khabar baik daripada anak atau mempunyai sedikit masa untuk berehat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *