10 hadis penawar hati agar tak tersakiti dan sembuh kembali

Hati yang sakit sangat susah untuk diubati. Namun ada hadis yang menyatakan bahawa setiap penyakit ada ubatnya. Dan ubat bagi kita yang mengalami kemurungan, kesedihan, ketidakselesaan hidup, rasa berdosa dan ingin hidup yang tenang kembali, boleh cuba apply hadis-hadis ini. Saya kongsikan 10 hadis yang saya rasa perlu dari kitab 40 Hadis  Peristiwa Akhir Zaman karya Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam yang merangkumi bab penawar hati. Moga ia membantu saya dan anda pada masa sekarang dan juga pada masa hadapan.

HADIS 1: EMPAT PERTANYAAN YANG MESTI DIJAWAB
Daripada Abu Barzakh Nadhlah bin ‘Ubaid al-Aslami r.a, telah bersabda Nabi s.a.w, “Tidak bergerak kedua-dua kaki seseorang hamba (di hadapan Allah pada hari kiamat nanti) sehingga terlebih dahulu dia akan ditanya tentang umurnya, untuk apa dihabiskan, dan akan ditanya tentang umurnya, untuk apa dihabiskan, dan akan ditanya tentang ilmunya, untuk apa dia melakukannya, dan akan ditanya tentang hartanya, dari mana dia memperolehinya dan untuk apa dibelanjakannya, dan akan ditanya tentang tubuh badannya, untuk apa dibinasakannya (digunakannya).” (HR Tirmizi)

HADIS 2: SIAPA TEMAN SETIA?
Daripada Anas bin Malik r.a, Rasulullah s.a.w bersabda, “Ada tiga perkara yang akan menghantar jenazah ke perkuburan, iaitu keluarganya, hartanya dan amalnya. Dua di antaranya akan kembali dan yang satu lagi akan tetap tinggal bersamanya. Keluarga dan harta akan kembalii sedangkan amal akan tetap setia bersamanya.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

HADIS 3: ORANG YANG MUFLIS
Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Tahukah kamu siapakan orang yang muflis (bankrap) itu? Sahabat menjawab: “Orang yang muflis di kalangan kami ialah seorang yang tidak memiliki dirham (wang) dan juga tidak memiliki harta.” Lalu Nabi s.a.w bersabda, “Sebenarnya orang yang muflis daripada kalangan umatku ialah seseorang yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala solat, puasa dan zakat tetapi (dahulunya sewaktu di dunia) dia pernah menghina si polan, menuduh si polan, memakan harta di polan, menumpahkan darah si polan dan pernah memukul si polan. Maka akan diberikan segala pahalanya sedangkan beban dosa penganiayaannya belum lagi selesai (belum dapat dibayar semua), maka akan diambil daripada kesalahan orang yang teraniaya itu lalu dibebankan kepadanya dan kemudian akan dilemparkan ke dalam neraka.” (HR Muslim)

HADIS 4: HINDARI DOA ORANG YANG DIZALIMI
Daripada Ibnu Abbas r.a, beliau berkata Nabi s.a.w mengutus Muaz ke negeri Yaman (untuk menjadi amir dan qadhi), lalu Baginda bersabda kepadanya, “Hindarilah doa yang dizalimi, maka sesungguhnya tidak ada antara doanya itu dan antara Allah sesuatu yang terhalang.” (HR Tirmizi)

HADIS 5: JAUHI TUJUH PEMBINASA
Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan.” Sahabat bertanya; “Ya Rasulullah! Apakah tujuh perkara itu?” Nabi s.a.w menjawab; “Menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan Allah melainkan dengan kebenaran menurut syarak, memakan harta riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan pertempuran, menuduh perempuan mukminah yang baik melakukan zina.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

HADIS 6: KENAPA HATI MENJADI KERAS?
Daripada Ibnu Umar r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Janganlah kamu memperbanyakkan percakapan melainkan untuk berzikir kepada Allah, maka sesungguhnya banyak bercakap selain daripada zikir kepada Allah itu adalah menyebabkan hati seseorang menjadi keras. Sesungguhnya, sejauh-jauh manusia daripada Allah ialah mereka yang berhati keras.” (HR Tirmizi)

HADIS 7: PELUANG YANG TIDAK DIREBUT
Daripada Abdullah bin Abbas r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Ada dua macam nikmat yang selalu disia-siakan oleh sebahagian besar manusia iaitu sihat dan nikmat kelapangan waktu.” (HR al-Bukhari)

HADIS 8: BERAMALLAH SEBELUM TERLAMBAT
Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda, ” Bersegeralah kalian melakukan amalan sebelum menemui tujuh perkara. Kamu sebenarnya tidak menanti melainkan tibanya: (1) Kemiskinan yang melalaikan. (2) Kekayaan yang menyebabkan kezaliman. (3) Sakit yang merosakkan badan. (4) Usia tua yang menggagapkan percakapan. (5) Kematian yang melenyapkan segala sesuatu. (6) Tibanya Dajjal, maka ia adalah sejahat-jahat makhluk ghaib yang dinantikan. (7) Tibanya hari kiamat, maka hari kiamat itu adalah lebih dahsyat dan lebih pahit lagi.” (HR Tirmizi)

HADIS 9: BENGKAK KAKI KERANA IBADAH MALAM
Daripada Aisyah r.ha, beliau berkata Rasulullah s.a.w selalu beribadah pada waktu malam sehingga bengkak kedua kakinya. Maka saya pun berkata kepadanya, “Kenapa engkau beribadah sampai begini ya Rasulullah? Sedangkan Allah telah mengampunkan dosamu yang terdahulu dan terkemudian (seandainya Baginda berdosa padahal sebenarnya Baginda maksum). Nabi s.a.w menjawab, “Bukankah lebih bagus aku menjadi hamba yang bersyukur?” (HR al-Bukhari)

HADIS 10: WAKTU YANG SESUAI UNTUK BERSEDEKAH
Daripada Abu Hurairah r.a.; beliau berkata telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah s.a.w lalu bertanya, “Ya Rasulullah! Sedekah manakah yang paling besar pahalanya?” Nabi s.a.w menjawab” “Sedekah yang engkau berikan, sedangkan engkau pada waktu itu masih sihat dan sebenarnya engkau bakhil (merasa sayang untuk menyumbangkan harta) kerana engkau takut menjadi fakir dan berangan-angan menjadi lebih kaya lagi. Maka janganlah engkau melambat-lambatkan sedekah sehingga apabila roh sampai ke kerongkongmu lalu ketika itu baru engkau berkata, ‘Untuk si polan ini sekian, si polan ini sekian’. Sebenarnya harta engkau pada ketika itu memang akan berpindah milik kepada orang lain.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Dalam keadaan yang sangat mencabar, pada zaman yang penuh dengan fitnah dan ujian ini, iman kita diuji dengan dahsyatnya oleh suasana persekitaran yang bercanggah dengan nilai-nilai keimanan. Kita sangat terdedah kepada perkara-perkara yang mengakibatkan kemarahan Allah. Maka, tidak ada jalan selamat kecuali dengan mengikut petunjuk yang diajar oleh Baginda Nabi s.a.w. Oleh kerana itu, penawar hati agar tak tersakiti adalah dengan mempelajari sunnah Nabi s.a.w sebagai sumber kedua setelah al-Quran dan pelajarilah ilmu yang diistilahkan oleh para ulama sebagai ilmu fardhu ain (merangkumi fekah, tauhid dan akhlak).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *