
Dalam sebuah hubungan, kasih sayang tidak semestinya hadir dalam bentuk kata-kata “Saya sayang awak”. Ada pasangan yang menunjukkan cinta dengan memeluk. Ada yang suka memberikan hadiah kecil. Ada yang lebih banyak membantu urusan rumah. Ada yang suka meluangkan masa bersama, dan ada juga yang sentiasa memberikan kata-kata penghargaan.
Inilah yang sering kita kenali sebagai love language atau bahasa cinta.
Empat hari lepas, Malaysia dikejutkan dengan pulangnya Ibu Negara kita iaitu Tun Hasmah ke negeri abadi. Pulangnya beliau memberi bekas yang bukan sedikit kepada rakyat Malaysia. Majoriti berduka. Dan yang paling menyayat hati, dapat kita lihat kepada susuk tubuh yang sentiasa tenang, kuat dan bersemangat iaitu Tun Mahathir. Jelas sekali di mata kita, Tun M sangat patah hati. Bahasa badan dan ekspresi wajahnya sudah cukup menggambarkan ‘hujan lebat’ yang sedang melanda jiwanya. Kesedihan yang amat mendalam. 70 tahun bersama, mana mungkin tidak memberi kesan.
Di media sosial, ramai orang berkongsikan dan bercerita tentang kebaikan Tun Hasmah atau kita kenali sebagai Tun Siti Hasmah. Semua orang berkongsi pengalaman tersendiri bila bertemu dengannya. Bukan itu sahaja, netizen Malaysia juga turut berkongsi klip-klip video dan gambar yang memaparkan kemesraan, keakraban dan hubungan erat Tun Siti Hasmah dan Tun Mahathir sewaktu muda sehingga mencecah umur 100 tahun. Dan pada saya sendiri, ada dua video yang yang menyentuh hati dan pastinya orang lain juga iaitu video di mana Tun Siti Hasmah memeluk Tun M di khalayak ramai sehingga Tun M naik segan dan video kedua apabila ditemubual oleh seorang kanak-kanak, Tun berdua kelihatan santai dan happy.
Kemesraan mereka bukan dibuat-buat. Hubungan mereka juga bukan tidak ada pergeseran. Ada satu kisah di dalam buku ‘A Doctor in The House’, Tun M menyatakan sendiri yang kelemahan isterinya adalah lambat bersiap. Mulanya mereka sering bergaduh bab ini namun, lama-kelamaan, Tun M belajar untuk menerima kekurangan isterinya sepertimana isterinya menerima kekurangan yang ada pada dirinya. Bahasa cinta mereka tidak sama namun, tolak ansur, sabar, belajar menerima kekurangan dan bergurau bagi hilangkan stres adalah antara resipi yang kita boleh pelajari daripada mereka berdua.
Di sebalik perbuatan-perbuatan kecil atau sikap ambil berat ini, ada masej besar yang turut dibawa sekali iaitu, “Saya sayang dan mengambil berat tentang awak.”

Kata-kata penghargaan Tun M buat keluar di mukasurat awal dalam buku A Doctor In The House.
Cuba perhatikan bahasa cinta pasangan
Hari ini, cuba lihat pasangan dengan perspektif yang sedikit berbeza.
Adakah dia menunjukkan kasih sayang melalui kata-kata?
Adakah dia suka meluangkan masa bersama?
Adakah dia sering membantu tanpa diminta?
Adakah dia suka memberikan sesuatu walaupun kecil?
Atau adakah dia lebih banyak menunjukkan kasih sayang melalui pelukan, sentuhan dan kemesraan?
Kemudian jika anda suka menulis, tuliskan satu perkara yang anda hargai pada pasangan anda.
Tidak perlu panjang. Cukup sekadar satu ke dua ayat.
“Hari ini saya bersyukur kerana…”
“Alhamdulillah, suami saya hari ini banyak membantu dari segi…”
Mungkin selepas beberapa hari, anda akan mula menyedari sesuatu yang indah. Pasangan anda mungkin sebenarnya sudah lama menunjukkan kasih sayang. Cuma selama ini, kita terlalu sibuk dengan rutin, kerja, anak-anak dan masalah kehidupan sehingga terlupa untuk melihatnya.
5 Konsep Bahasa Cinta
“Love language” atau bahasa cinta merujuk kepada cara seseorang biasanya memberi dan menerima kasih sayang. Konsep yang popular ini diperkenalkan oleh Gary Chapman. I terbahagi kepada 5 bentuk utama:
1. Kata-kata penghargaan — Words of Affirmation
Cinta ditunjukkan melalui kata-kata yang baik, pujian dan penghargaan.
Contohnya:
- “Terima kasih sebab sentiasa ada dengan saya.”
- “Saya bangga dengan awak.”
- “Awak dah buat yang terbaik hari ini.”
- Menghantar mesej manis walaupun sedang berjauhan.
- Memuji usaha pasangan, bukan hanya hasilnya.
Bagi sesetengah pasangan, satu ayat yang lembut boleh buat hati berbunga seharian.
2. Masa berkualiti — Quality Time
Bukan sekadar berada di tempat yang sama, tetapi memberikan perhatian sepenuhnya kepada pasangan.
Contohnya:
- Makan bersama tanpa sibuk dengan telefon.
- Berjalan berdua selepas makan malam.
- Minum kopi sambil berbual tentang hari masing-masing.
- Menonton filem bersama.
- Mendengar cerita pasangan tanpa terus memberikan nasihat.
Kadang-kadang pasangan tidak perlukan hadiah. Mereka cuma mahu rasa, “Awak benar-benar ada bersama saya.”
3. Menerima atau memberi hadiah — Receiving Gifts
Hadiah menjadi simbol bahawa seseorang mengingati dan memikirkan pasangannya.
Hadiah tidak semestinya mahal namun, secara tidak langsung ia memberitahu kita bahawa kita adalah salah seorang yang penting dalam hidupnya.
Contohnya:
- Bawa pulang makanan kegemaran pasangan.
- Belikan bunga.
- Berikan buku yang pasangan pernah sebut ingin baca.
- Belikan coklat ketika balik dari kerja.
- Tinggalkan nota kecil dalam beg pasangan.
Nilai hadiah bukan semata-mata pada harganya, tetapi pada mesej: “Saya nampak sesuatu ini dan terus teringat awak.”
4. Perbuatan membantu — Acts of Service
Cinta ditunjukkan melalui tindakan yang dapat meringankan beban pasangan.
Contohnya:
- Tolong mengemas rumah.
- Masakan nasi goreng sebelum pasangan pergi kerja.
- Ambil anak dari sekolah apabila pasangan sibuk.
- Uruskan sesuatu yang pasangan tidak sempat lakukan.
Ada pasangan yang mungkin tidak banyak berkata “saya sayang awak”, tetapi menunjukkan cinta melalui: “Biar saya buatkan.”
5. Sentuhan fizikal — Physical Touch
Kasih sayang disampaikan melalui sentuhan yang sesuai dan dipersetujui kedua-dua pasangan.
Contohnya:
- Berpegangan tangan.
- Memeluk pasangan.
- Mengusap bahu.
- Duduk rapat ketika berbual.
- Memberi pelukan sebelum keluar bekerja.
- Ciuman di pipi.
Bagi sesetengah orang, sentuhan memberikan rasa selamat, dekat dan dihargai.

Syukur bukan bermaksud hubungan sentiasa sempurna
Pada saya yang sentiasa menulis perkara baik yang Allah berikan setiap hari, ia tidak bermaksud kita perlu menafikan masalah dalam rumahtangga atau kekurangan yang ada pada pasangan. Tiada manusia yang sempurna. Setiap pasangan mempunyai perbezaan, kesukaan dan minat yang berbeza. Cuma, di tengah-tengah semua itu, jika diperhatikan, ada banyak perkara kecil yang boleh kita hargai dan kenang.
Secawan kopi yang dikongsi bersama.
Pesanan ringkas di whatsapp atau telegram.
Pelukan.
Kata-kata semangat.
Pertolongan ketika kita penat.
Makanan yang disediakan.
Atau sekadar seseorang yang masih bertanya,
“Awak okay hari ini?”
Kadang-kadang kebahagiaan dalam hubungan bukan kerana pasangan melakukan sesuatu yang luar biasa. Tetapi kerana kita belajar menghargai perkara biasa yang dilakukan dengan penuh kasih sayang.
Jadi malam ini, sebelum tidur, ambil masa beberapa minit. Kenang akan kebaikan pasangan kita atau soulmate kita sepanjang tempoh perkahwinan. Tulis atau sematkan dalam otak tentang, “Satu perkara yang pasangan saya lakukan hari ini yang saya hargai ialah…”
Mungkin hanya satu ayat. Mungkin ada banyak perbuatan yang buat hati kita berbunga seharian. Dan ini semua mampu mengubah cara kita menjaga keharmonian rumahtangga dan kenali bahasa cinta masing-masing agar cinta sentiasa bersemarak hingga ke akhir hayat.

