
Kemurungan (depression) dan kebimbangan (anxiety) jarang berlaku kerana satu sebab sahaja. Kebiasaannya, ia akan muncul hasil daripada gabungan beberapa faktor biologi, psikologi, pengalaman hidup dan persekitaran. Setiap individu mempunyai perjalanan yang berbeza. Bagaimana sebenarnya kemurungan dan kebimbangan boleh berlaku pada diri individu? Adakah mereka tak sedar, buat-buat tak sedar dan berharap ia akan berlalu ataupun memang mahukannya? Jom kita kenali akar kepada masalah yang sering dihantui dan dialami agar langkah pencegahan dapat dilakukan sebelum ia merebak teruk dalam diri.
Kenali 8 sebab utama wujudnya kemurungan dan kebimbangan dalam diri individu.
- Tekanan yang berpanjangan – Apabila seseorang menghadapi tekanan berlarutan tanpa berpeluang untuk rehat sebentar, tubuh akan mula berada dalam keadaan “berjaga-jaga”. Antara contoh yang sering menyebabkan tekanan adalah seperti beban kerja yang tinggi, rehat berkurangan, menjaga ibu bapa atau ahli keluarga yang memerlukan perhatian, masalah kewangan, konflik rumahtangga dan menjadi penjaga (caregiver) tanpa sesiapa membantu beri ruang untuk memulihkan tenaga. Tekanan yang berterusan ini boleh menyumbang kepada kecepatan diri untuk murung dan bimbang.
- Pengalaman hidup yang sukar – Hidup tak selalunya indah. Ada ketika akan muncul ujian, kesedihan dan berhadapan dengan masalah. Antara penyebab yang sering menyumbang adalah kehilangan atau kematian orang tersayang, mengalami penyakit kronik, perceraian, hilang pekerjaan, kegagalan perniagaan, kemalangan atau trauma akibat penderaan.
- Cara seseorang berfikir – Corak pemikiran ada ketika menyumbang kepada kemurungan dan kebimbangan. Sebagai contoh, kita sering berasa rendah diri bila dalam kelompok tertentu, sering menyalahkan diri jika tidak berjaya capai matlamat, bimbang perkara buruk berlaku pada masa hadapan atau mungkin bila berhadapan dengan kegagalan kita berasa hidup juga gagal. Corak pemikiran seperti ini memang mampu membawa kita ke arah masalah kemurungan dan kebimbangan jika kita tidak menambah ilmu atau belajar bersangka baik pada Tuhan.
- Kurang sokongan sosial – Sebagai manusia, kita memerlukan hubungan yang sihat dengan orang sekeliling. Namun, apabila berasa keseorangan, tiada tempat mengadu atau berkongsi dan berasa tidak difahami, pelbagai fikiran negetif mula masuk ke dalam otak.
- Faktor biologi – Otak menggunakan bahan kimia (neurotransmiter) untuk membantu mengawal emosi, motivasi dan tindak balas terhadap tekanan. Selain itu, faktor seperti genetik, perubahan hormon, penyakit, kesan ubat-ubatan atau gangguan tidur dan kepenatan mampu mencetus kemurungan dan kebimbangan.
- Gaya hidup yang tidak seimbang – Beberapa faktor gaya hidup mampu menyumbang kepada kemunculan kemurungan dan kebimbangan. Antara yang dikenalpasti adalah kurangnya aktiviti fizikal dan riada, kurang tidur dan rehat, pemakanan yang tidak seimbang, pengaruh dadah dan alkohol serta fokus hidup yang melampau. Jika ia tidak dikawal, mampu menyebabkan masalah mental perlahan-lahan bertapak.
- Perubahan hormon – Bagi wanita, perubahan hormon pada waktu tertentu boleh mempengaruhi emosi. Sebagai contoh selepas kelahiran anak, semasa perimenopau dan menopaus serta pengambilan ubat atau jamu.
- Tekanan budaya dan jangkaan masyarakat – Di Malaysia dan kebanyakan negara Asia Tenggara, ramai dibesarkan dengan kepercayaan seperti ‘Jangan menyusahkan orang lain’, ‘Kena sentiasa lawan dan kuat’, ‘jangan menangis sebab nampak diri tu lemah’ dan ‘Jangan tunjuk emosi sangat’. Akibat daripada ‘frasa-frasa’ yang ditanam dalam kepala sejak kecil ini, ia mampu mengakibatkan tekanan kemurungan dan kebimbangan melampau bila tidak dibantu dari awal.
Bagaimana kebimbangan boleh bertukar menjadi kemurungan?
Bayangkan seseorang sentiasa risau setiap hari.
“Kalau aku gagal macam mana?”
“Kalau anak aku tak berjaya?”
“Kalau aku sakit nanti?”
Otak berada dalam keadaan berjaga-jaga hampir sepanjang masa. Tidur terganggu, badan sentiasa letih dan fikiran sukar berehat. Otak kita akan diserang dengan pelbagai persoalan dan emosi menyebabkan rasa tak tenang dan jantung bergetar laju. Selepas berbulan atau bertahun-tahun, jika tidak dicari rawatan, kita akan mula berasa penat untuk hidup, letih tak bertempat, hilang harapan dan hilang minat pada perkara yang menggembirakan diri.

Kemurungan (depression) dan kebimbangan (anxiety) boleh berlaku kepada wanita dan lelaki tanpa mengira umur. Namun, bagi individu berusia 30 tahun ke atas, gejalanya kadangkala lebih sukar dikenali kerana sering disalah anggap sebagai tekanan kerja, keletihan, tanggungjawab keluarga, atau perubahan hormon. Banyak hasil kajian di Malaysia dan negara Asia Tenggara yang lain menunjukkan bahawa ramai individu lebih cenderung mengadu simptom fizikal berbanding menyatakan mereka berasa sedih, lelah atau cemas.
Berikut ialah simptom kemurungan yang lazim ditemui oleh mereka yang mengalaminya.
- Rasa sedih atau kosong yang berpanjangan – Berlarutan hampir setiap hari selama sekurang-kurangnya dua minggu.
- Hilang minat terhadap aktiviti yang dahulu digemari – Tidak lagi menikmati hobi, berkebun, memasak, bersukan atau berjumpa rakan.
- Keletihan yang berterusan – Bangun pagi sudah berasa letih walaupun tidur mencukupi.
- Perubahan corak tidur – Sukar tidur, kerap terjaga, atau tidur terlalu lama.
- Perubahan selera makan atau berat badan – Makan terlalu banyak atau hilang selera makan.
- Sukar memberi tumpuan – Sukar membuat keputusan, mudah terlupa atau hilang fokus semasa bekerja.
- Rasa tidak berguna atau bersalah secara berlebihan – Sering menyalahkan diri sendiri walaupun perkara kecil.
- Mudah marah atau cepat tersinggung – Ini lebih kerap dilihat dalam kalangan lelaki berbanding tangisan yang jelas.
- Simptom fizikal tanpa punca yang jelas – Sakit kepala, sakit belakang, lenguh badan, masalah penghadaman atau sakit dada selepas pemeriksaan perubatan tidak menemui punca yang jelas.
- Memikirkan tentang kematian atau bunuh diri – Sama ada secara pasif (“lebih baik saya mati”) atau mempunyai rancangan yang khusus.

Jika anda merasakan diri sering risau akan apa yang berlaku pada masa hadapan, takut pada persepsi orang, risau pada banyak perkara yang sepatutnya tak perlu difikirkan sangat atau bimbang tak kena tempat. ini antara simptom anda memang mengalami masalah kebimbangan.
- Risau secara berlebihan – Sukar menghentikan fikiran negatif walaupun perkara kecil.
- Jantung berdebar-debar – Terasa laju tanpa sebab yang jelas.
- Sesak nafas atau sukar menarik nafas – Terutama ketika berada dalam situasi yang mencetuskan tekanan.
- Otot tegang – Bahu, tengkuk dan rahang terasa tegang sepanjang hari.
- Sukar tidur kerana fikiran tidak berhenti – Asyik memikirkan pelbagai kemungkinan buruk.
- Mudah terkejut – Sangat sensitif terhadap bunyi atau perubahan persekitaran.
- Sukar berehat – Sentiasa berasa gelisah dan perlu melakukan sesuatu.
- Gangguan penghadaman – Loya, sakit perut, cirit-birit atau ketidakselesaan perut ketika cemas.
- Mengelakkan situasi tertentu – Enggan menghadiri majlis, memandu jauh, menghadiri mesyuarat atau keluar bersendirian kerana takut sesuatu akan berlaku.
- Serangan panik (panic attack) – Berlaku secara tiba-tiba dengan simptom seperti dada berdebar, berpeluh, menggigil, sesak nafas dan takut akan mati atau hilang kawalan.
Mengapa gejala kemurungan dan kebimbangan ini sering tidak dianggap remeh oleh rakyat Malaysia amnya?
Kebanyakan rakyat Malaysia jika dilihat tidak mengambil berat tentang masalah kemurungan dan kebimbangan ini pada peringkat awal. Ini kerana terdapat beberapa faktor budaya dan persekitaran yang menyumbang kepada kelewatan mendapatkan bantuan dan rawatan bila masalah semakin serius:
- Menganggap tekanan sebagai perkara biasa dalam kehidupan.
- Percaya bahawa seseorang perlu sentiasa “kuat” dan tidak menunjukkan emosi.
- Bimbang dipandang negatif jika mendapatkan rawatan psikologi atau psikiatri. Takut dianggap gila.
- Lebih cenderung mendapatkan rawatan kerana sakit fizikal berbanding menyedari masalah emosi.
- Tanggungjawab menjaga keluarga dan pekerjaan menyebabkan keperluan diri sendiri sering diketepikan.
Bila perlu mendapatkan bantuan?
Jika anda merasakan anda mempunyai simptom-simpton yang disenaraikan dan memang rasa lain pada diri sendiri, cubalah dapatkan bantuan. Dapatkan penilaian daripada doktor atau ahli psikologi jika:
- simptom berlarutan lebih daripada dua minggu,
- ia mengganggu pekerjaan, keluarga atau kehidupan seharian,
- mula mengasingkan diri daripada orang lain,
- terlalu banyak fikiran dan lintasan hati yang negatif mengganggu
- takut berpanjangan
- terdapat fikiran untuk mencederakan diri atau membunuh diri.
Kita di Malaysia, bantuan boleh diperoleh melalui banyak sumber, Pertama, cari orang yang kita percaya boleh bantu untuk perbaiki diri, pergi ke klinik kesihatan atau hospital kerajaan jika ingin dapatkan pandangan profesional, pakar psikiatri, ahli psikologi klinikal atau kaunselor berdaftar. Mungkin pada awalnya kita ragu-ragu. Tapi jika dilihat kepada peningkatan bagaimana masalah kemurungan dan kebimbangan yang ada sekarang semakin berkembang tak kita umur, adalah lebih baik ketepikan individu yang merasa kesakitan pada diri buang rasa malu, ego dan takut. Kesihatan mental dan fizikal kita lebih utama berbanding persepsi orang lain kepada kita.

