Starter Kit Journaling untuk Wanita Berusia 35 Tahun Ke Atas: Apa Yang Perlu Ada?

Apabila mendengar perkataan journaling, mungkin ada yang membayangkan buku yang penuh dengan tulisan cantik, sticker berwarna-warni, lukisan kecil, washi tape dan hiasan yang tersusun rapi.

Tetapi adakah wanita berusia 35 tahun ke atas perlu membuat jurnal seperti itu?
Jawapannya: tidak semestinya.

Journaling tidak mempunyai satu cara yang betul. Ada wanita yang suka menulis panjang lebar. Ada yang hanya menulis tiga perkara yang disyukuri. Ada yang suka menggunakan warna, sticker dan kolaj. Ada pula yang lebih selesa dengan halaman yang ringkas dan hampir kosong.

Yang penting ialah jurnal itu sesuai dengan diri pemilik itu sendiri.

Jika anda baru mahu bermula, tidak perlu membeli terlalu banyak barang. Mulakan dengan starter kit journaling yang sederhana dan tambah aksesori sedikit demi sedikit apabila anda sudah tahu gaya journaling yang anda sukai dan selesa.

1. Sebuah jurnal yang selesa digunakan

Perkara pertama yang diperlukan tentulah sebuah jurnal atau buku nota kosong. Buku nota ini tidak semestinya hardcover. Anda boleh sahaj menggunakan buku softcover ataupun tulis sendiri atas kertas A4 dan kemudian punch di sisi kertas. Buat seperti kita baru belajar di universiti atau sekolah menengah dulu.

Pilih jurnal berdasarkan cara anda mahu menggunakannya. Jika anda suka menulis banyak, pilih jurnal yang mempunyai ruang menulis yang luas. Jika anda suka membawanya ke mana-mana, saiz yang lebih kecil mungkin lebih praktikal.

Bagi jurnal kesyukuran pula, jurnal yang mempunyai soalan panduan atau ruang khusus boleh membantu wanita yang baru bermula kerana tidak perlu memikirkan setiap hari, “Hari ini saya nak tulis apa?”

Yang paling penting, jangan pilih jurnal semata-mata kerana ia cantik. Pilih jurnal yang membuatkan anda rasa mahu membukanya dan menulis.

2. Pen yang membuatkan anda suka menulis

Tidak perlu membeli satu kotak pen yang mahal. Cukup bermula dengan satu atau dua batang pen yang selesa di tangan. Pilih warna hitam, biru atau warna kegemaran anda.

Jika anda suka menulis tajuk atau perkataan tertentu dengan warna berbeza, anda boleh menambah beberapa pen warna kemudian. Ataupun mungkin menggunakan highlighter.

Journaling bukan pertandingan tulisan paling cantik. Tulisan tangan yang tidak sempurna tetap mempunyai nilai kerana ia adalah tulisan anda. Dan tulisan yang tak berapa lawa tu tetap ada nilainya yang tersendiri pada tuan empunya jurnal.

3. Sticker – sesuai atau tidak untuk wanita 35+?

Sangat sesuai, jika anda menyukainya. Sticker bukan hanya untuk kanak-kanak atau remaja. Ia boleh digunakan sebagai penanda mood, hiasan, penanda tarikh atau sekadar memberikan sedikit warna pada halaman dalam jurnal kita.

Contohnya, sticker bunga boleh digunakan pada hari yang menggembirakan. Sticker cawan kopi mungkin mengingatkan kita kepada pagi yang tenang. Sticker daun boleh digunakan untuk menandakan hari kita memerlukan sedikit ruang untuk berehat. Dan sticker kata-kata motivasi, bantu kita untuk menguatkan dalam diri di saat hati diamuk emosi.

Namun, jangan gunakan sticker kerana merasakan jurnal perlu kelihatan cantik. Gunakan kerana ia membuatkan anda seronok membuka jurnal.

4. Pensel warna atau alat mewarna

Bagi wanita yang tidak begitu suka menulis panjang, aktiviti mewarna boleh menjadi alternatif yang menarik. Tidak perlu pandai melukis. Buat sahaja lukisan abstrak yang mampu dibuat kala itu. Atau mungkin jika jurnal yang anda beli sudah ada lukisan atau ruang untuk berkarya, warnakan sahaja. Anda boleh mewarna corak yang sudah tersedia, mewarnakan bunga kecil di tepi halaman atau menggunakan warna untuk menunjukkan perasaan.

Contohnya:
Hijau – tenang
Kuning – gembira
Biru – damai
Merah – bersemangat
Ungu – refleksi diri

Warna juga boleh digunakan sebagai sistem mudah untuk mengenali keadaan emosi tanpa perlu menulis terlalu banyak. Mewarna juga mampu mengalih fikiran yang berserabut dengan menenangkan diri sebentar.

5. Washi tape

Washi tape merupakan salah satu aksesori yang mudah digunakan dan popular sejak beberapa tahun ini. Ia boleh digunakan untuk membuat garisan, membahagikan bahagian halaman, menampal gambar atau sekadar menghias bahagian tepi jurnal.

Jika anda seorang yang minimalis, pilih satu atau dua corak sahaja. Tidak perlu memenuhi seluruh halaman. Kadang-kadang satu jalur kecil washi tape sudah cukup untuk membuat halaman terasa lebih istimewa.

6. Kolaj daripada perkara yang mempunyai makna

Kolaj pula sesuai untuk wanita yang suka menyimpan kenangan.

Anda boleh menggunakan:

  • keratan majalah
  • pembungkus hadiah
  • tiket perjalanan
  • kad ucapan
  • gambar lama
  • nota kecil
  • keratan kertas
  • pembalut bunga

Contohnya, selepas bercuti bersama keluarga, anda boleh menampal tiket atau gambar kecil ke dalam jurnal dan menulis beberapa ayat tentang apa yang paling anda syukuri daripada perjalanan tersebut.

Jurnal akhirnya bukan sekadar tempat menulis. Ia menjadi album kecil tentang kehidupan, kegembiraan dan kenangan yang kita lalui pada waktu itu. 

7. Daun dan bunga

Bagi mereka yang sukakan alam, daun, tumbuh-tumbuhan dan bunga juga boleh menjadi elemen menarik dalam journaling. Anda boleh menggunakan bunga yang sudah dikeringkan atau daun yang telah dipres dan dilekatkan pada halaman.

Tetapi pastikan bahan tersebut benar-benar kering supaya tidak menyebabkan kelembapan atau kerosakan pada jurnal.

Daun dan bunga juga boleh digunakan sebagai simbol. Contohnya, bunga yang berkembang buat pertama kalinya bila ditanam. Atau mungkin daun-daun tertentu melibatkan emosi di mana mungkin pokok itu ditanam oleh ahli keluarga yang telah pergi menghadap Ilahi.

8. Gunting dan gam

Jika anda mahu mencuba kolaj, dua alat asas yang berguna ialah gunting dan gam. Pilih gam yang sesuai untuk kertas dan tidak terlalu basah supaya halaman tidak mudah berkedut.

Tidak perlu membeli peralatan khas pada permulaan. Gunakan apa yang sudah ada di rumah.

9. Yang paling penting: soalan atau “journal prompts”

Sebenarnya, ada satu lagi perkara yang jauh lebih penting daripada semua aksesori tadi — idea tentang apa yang hendak ditulis.

Jika anda baru bermula, sediakan beberapa soalan mudah seperti:

“Apakah perkara kecil yang membuat saya tersenyum hari ini?”
“Apa yang saya syukuri hari ini?”
“Apa yang saya pelajari tentang diri saya?”
“Apa yang ingin saya lepaskan hari ini?”
“Apa satu perkara yang saya mahu hargai tentang kehidupan saya sekarang?”

Soalan-soalan ini dapat membantu anda menjadikan journaling lebih mudah dan tidak terasa seperti tugasan.

Starter kit yang sederhana sudah memadai

Jika anda baru bermula, anda sebenarnya tidak memerlukan banyak perkara.

Starter kit asas boleh terdiri daripada:

📔 1 jurnal
🖊️ 1–2 batang pen
🎨 Beberapa pensel warna
🌸 Beberapa sticker pilihan
🎀 1–2 gulung washi tape
✂️ Gunting dan gam
🌿 Bahan semula jadi seperti daun atau bunga kering (jika suka)
📷 Gambar atau keratan kecil yang mempunyai kenangan
💭 Beberapa journal prompts

Selepas beberapa minggu menulis, anda akan mula mengetahui gaya yang bagaimana sesuai untuk diri sendiri.

Mungkin anda rupanya lebih suka menulis daripada menghias.
Mungkin anda suka menggunakan warna.
Mungkin anda gemar mengumpul kenangan melalui kolaj.

Atau mungkin anda menemukan bahawa tiga baris tulisan tentang perkara yang disyukuri sudah cukup untuk membuat hari terasa lebih bermakna dan belajar bersangka baik pada Allah selalu (walaupun hari pada hari itu tak best).

Journaling tidak perlu mahal. Tidak perlu sempurna. Dan tidak perlu mengikut gaya orang lain.

Untuk wanita 35 tahun ke atas, journaling boleh menjadi satu ruang kecil untuk berhenti seketika daripada kesibukan, mendengar suara hati dan menghargai kehidupan yang sedang dilalui. Kerana pada akhirnya, jurnal bukan tentang bagaimana cantiknya halaman yang kita hasilkan. Jurnal adalah tentang cerita kehidupan yang kita pilih untuk tidak melupakannya. 

Jika anda bercadang untuk menulis kenangan-kenangan indah, perlara-perkara baik yang berlaku dalam hidup dan anda hendak menjurnal tapi tidak tahu bagaimana hendak bermula, boleh dapatkan jurnal kesyukuran di Ekspresi Syukur. Anda bukan sekadar memiliki jurnal hardcover yang bagus tapi isinya yang membuka mata hati untuk sentiasa bersyukur, menghargai dan menyimpan kenangan indah diberikan Allah setiap hari.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *