Kelebihan menulis jurnal (tak kisah jurnal apapun) di waktu pagi atau malam

Kelebihan menulis jurnal, tak kisah apapun jenis sebenarnya banyak. Bergantung kepada individu yang menulis. Tetapi, pernah ada rakan dan pelanggan saya berkata dan ada yang bercerita, “saya tak pandai menulis.” Menulis jurnal ni untuk orang yang pandai main bahasa dan menulis je.” “Diari ni kalau tulis, orang kata macam tak matang aje.” Dan pernah juga saya dengar komen, “Dah besar-besar pun nak tulis diari ke? Kelakarlah…”

Kak, sis, adik, tahukah anda bahawa menulis jurnal ni salah satu aktiviti yang terpenting untuk kita mengetahui sejarah. Kita mencatat apa yang berlaku pada hari tersebut. Kita mengingati momen-momen tertentu di mana bila satu waktu nanti ia dibaca, ia menjadi ilmu buat orang lain atau kenangan buat diri. Kita belajar menghargai detik yang tidak akan berulang itu lagi. Kita adore momen yang berlaku. Jika anda ingat, kita pernah belajar sejarah masa sekolah dulukan? Ingat tak catatan-catatan sejarah pengembaraan yang dibuat oleh Ibnu Batutta, Alfonso D’Alburqueque, Laksamana Cheng Ho dan sejarawan lain pada zaman mereka? Ingat! Catatan-catatan tersebut meski nampak simple tapi tetap beri ilmu baru pada sejarawan dan pengkaji sekarang.

Jika sekarang anda menulis jurnal kesyukuran, pastinya ada kisah-kisah baik yang anda tulis dalam jurnal tersebut yang mengingatkan kembali apa yang berlaku. Jika anda menulis diari harian, pastinya ada kisah-kisah  menarik, positif, negatif yang ingin dicatatkan di dalamnya. Jika anda menulis atau membuat junk jurnal, pastinya anda akan melekat pelbagai gambar, tulisan, kertas di dalamnya. Jika anda menulis jurnal percutian, pastinya ada gambar-gambar tempat menarik, tiket kapal terbang, bungkusan makan yang akan kita letak dalam jurnal tersebut. Kita akan kongsikan ‘something’ yang menarik dalamnya untuk pandang mata kita (dan mungkin anak cucu kita).  Jika kita menulis jurnal matlamat atau jurnal kewangan, sudah pastinya kita ada matlamat tertentu dalam hidup yang ingin dicapai. Langkah demi langkah akan kita catatkan untuk memastikan impian tercapai. Ada orang yang dilahirkan berseni, dia pasti ada jurnal melukis, jurnal kreatif, sketch journal dan bullet journal. Ia menjado lambang kenangan buat diri bahawa ada sesuatu yang berlaku pada hari itu yang membuatkan mereka mencatatnya.

Di sini, saya kongsikan beberapa alasan, sebab dan kelebihan menulis jurnal. Mungkin satu hari nanti anda akan mempunyai jurnal sendiri yang memberi anda ketenangan, kekuatan dan keseronokan dalam hidup.

  1. Merakam kenangan yang berlaku dalam hidup: Jurnal apa pun yang ditulis sebenarnya merakam kenangan dan memori yang berlaku pada hari tersebut. Ia mungkin tidak sebaik rakaman gambar ataupun video tapi bila menulis dan menampal sesuatu di dalam jurnal ia menjadi pencetus untuk kita mengingatnya kembali.
  2. Dapat menghargai dan mensyukuri nikmat pemberian Tuhan: Jika anda menulis jurnal kesyukuran atau diari harian, jangan lupa selitkan perkara-perkara yang disyukuri, dihargai dan menggembirakan pada hari tersebut. Ia mengingatkan diri bahawa kegembiraan yang dinikmati pada saat itu membuatkan kita rasa gembira.
  3. Mengurangkan stres dan kebimbangan: Menulis jurnal mampu melarikan fokus kita kepada perkara negatif dan menyakitkan hati pada waktu itu atau minggu itu. Kita cuba merawat hati dan minda dengan menulis, merakam, bermain dengan kertas/kraf untuk jurnal yang dimiliki. Kita cuba alihkan sebentar rasa yang tidak baik itu agar tidak berpanjangan.
  4. Meningkatkan keyakinan diri: Dengan menulis pencapaian dan kejayaan kecil yang berlaku setiap hari, kita dapat melihat potensi diri dan menilai pencapaian yang telah dicapai. Ia membantu membina kembali keyakinan diri sedikit demi sedikit.
  5. Membantu mengurus emosi: Tekanan kerja dan harian memang tidak dapat dielakkan. Untuk meluah kepada orang yang salah, memang harus dielakkan. Jadinya, cara terbaik adalah dengan meluahkan dala jurnal/diari harian. Sebaik selesai menulis apa yang terpendam, kita akan rasa seolah satu beban berat telah dikurangkan. Dan pada masa akan datang, bila kita membacanya kembali, mungkin ia menjadi kenangan indah atau panduan hidup agar lebih bersangka baik.
  6. Meningkatkan kreativiti diri: Menggabungkan pelbagai elemen seperti tulisan, kolaj, lukisan, warna dan hiasan yang merangsang daya kreativiti. Jurnal kita, jadi, suka hati kita mahu mendekorasikannya bagaimana cara sekalipun. As long, kita rasa happy.
  7. Menggalakkan pemeliharaan alam dan kitar semula: Untuk dekorasi jurnal, kita banyak menggunakan bahan terpakai seperti kertas suratkhabar, majalah, flyers, kertas balut hadiah, plastik makanan, riben yang tak pakai dan macam-macam lagi. Benda-benda yang kelihatan remeh ini sebenarnya memberi nilai estetika tersendiri pada jurnal kita. Lagi membuatkan kita terus teringat apa yang terjadi pada waktu jurnal itu ditulis atau dideko.
  8. Meningkatkan fokus dan kesabaran: Bila kita menulis, minda kita akan fokus mengingati kembali perkara-perkara baik yang berlaku dalam hidup (jika tulis jurnal kesyukuran). Kita dilatih untuk bersabar ketika menulis, bersabar dalam prasangka baik yang berlaku dalam hidup yang menjadi asbab kita menulis dalam jurnal dan bersabar dengan ujian Allah. Ingat! Apa yang berlaku ada sebabnya. Cuma kita tahu mungkin sedikit lambat.
  9. Meningkatkan kemahiran tangan: Jika anda suka dekorasi dan seni, junk journal memang sesuai, Junk journal membantu anda dalam kreativiti memotong, menjahit, menampal, melekat dan melipat pelbagai jenis kertas. Ia boleh meningkatkan kemahiran seni tangan dan menjadi hobi yang menyeronokkan.
  10. Membantu proses refleksi diri: Menulis dalam jurnal atau diari boleh membantu diri memahami emosi, matlamat, pelajaran dan perasaan dengan lebih baik. Kita boleh mencatat kenangan manis, pelajaran yang bermakna, pengalaman mahupun kata-kata motivasi yang disukai.

Menulis jurnal bukan perkara remeh yang seperti dimomokkan oleh mereka yang tidak suka membaca atau menulis. Menulis jurnal adalah salah satu dari banyak cabang yang membuatkan seseorang mampu menenangkan diri, dekat dengan Allah, belajar ilmu baru dan mencatat perkara-perkara positif dan baik. Kelebihan menulis jurnal tidak kisah apa jenis sekalipun merupakan adalah satu amalan yang boleh mengubah cara seseorang melihat dunia dan menjalani kehidupan yang lebih bermakna.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *