Bagaimana amalan bersyukur mampu meningkatkan keyakinan diri?

Dalam kehidupan yang serba pantas ini, ramai di antara kita sering terperangkap dalam tekanan dan perasaan tidak cukup baik. Kita membandingkan diri dengan orang lain, meragui keupayaan sendiri, rasa terlalu ketinggalan dan kadangkala merasa tidak berharg dan membantu. Namun, tahukah anda bahawa amalan bersyukur sehari-hari boleh menjadi kunci kepada peningkatan keyakinan diri?

1. Mengenali Nilai Diri Melalui Kesyukuran

Apabila kita memberi tumpuan kepada perkara yang kita syukuri setiap hari, kita mula menyedari betapa banyak nikmat yang telah kita peroleh. Ini membantu kita melihat nilai dan keunikan diri sendiri tanpa perlu membandingkan diri dengan orang lain. Kesyukuran membimbing kita untuk fokus pada kelebihan, kenikmatan dan pencapaian kita, bukannya kelemahan. Kasih sayang Allah pada hamba-Nya ada waktu sukar untuk kita fahami tetapi belajarlah untuk berbaik sangka kepada-Nya.

“Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah an-Nahl 16: 18)

2. Mengurangkan Pemikiran Negatif

Amalan bersyukur melatih minda kita untuk menukar perspektif dari negatif kepada positif. Dengan mengakui perkara baik dalam hidup, kita kurang cenderung untuk merendahkan diri atau memikirkan kegagalan. Sebaliknya, kita akan lebih menghargai usaha dan perjalanan hidup sendiri yang seterusnya meningkatkan keyakinan diri. Kita belajar mengabaikan hasutan jahat yang mengajak kita untuk lemah, tertekan dan banyak berfikir perkara yang  bukan-bukan.

“Jauhilah prasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah ucapan yang paling dusta, janganlah kamu saling (memasang mata dan telinga untuk) mencari cari salah orang, janganlah saling mengintip (menyiasat perkara buruk yang tersembunyi), saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci, tetapi jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara.” (Riwayat Imam Muslim)

3. Meningkatkan Motivasi dan Keberanian

Apabila kita menyedari bahawa kita sudah memiliki banyak perkara untuk disyukuri, kita akan lebih terdorong untuk terus mencuba dan mencapai matlamat yang lebih tinggi. Amalan bersyukur mengingatkan kita bahawa kita telah melalui pelbagai cabaran dan masih mampu berdiri teguh, menjadikan kita lebih berani menghadapi rintangan baharu.

“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.” (Surah Ibrahim 14: 7)

4. Menjalin Hubungan yang Lebih Positif

Mereka yang mengamalkan kesyukuran cenderung untuk lebih menghargai orang di sekeliling mereka. Apabila kita menunjukkan penghargaan terhadap orang lain, hubungan kita menjadi lebih baik dan sokongan sosial yang kuat ini meningkatkan keyakinan diri kita dalam pelbagai aspek kehidupan.

“Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.” (Surah Dhuha 93: 11)

5. Membantu Mencipta Rasa Kepuasan Diri

Keyakinan diri bukan hanya tentang apa yang kita capai, tetapi juga bagaimana kita merasa tentang diri sendiri. Dengan mengamalkan rasa bersyukur, kita belajar untuk berasa cukup dengan apa yang dimiliki. Ini mengurangkan keinginan untuk sentiasa mengejar sesuatu yang lebih yang kadangkala boleh menyebabkan ketidakpuasan diri dan menyesakkan diri.

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda, tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kekayaan jiwa.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Dengan mengamalkan syukur secara konsisten, perlahan-lahan kita dapat membina keyakinan diri yang kukuh dan menjalani kehidupan dengan lebih bahagia serta bermakna. Kita mula merasakan hari-hari kita sentiasa terisi dengan perkara-perkara yang baik, bermanfaat, berfaedah dan tidak dibazirkan begitu sahaja. Jadi, mulakan hari ini dengan rasa bersyukur dan rasai perubahan positif dalam diri anda! Jika anda tidak perasan, orang keliling anda pasti merasai perubahan tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *