Rasa lebih bersyukur bila masuk ke dalam hutan?

Jarang orang akan mengakui rasa lebih bersyukur bila masuk ke dalam hutan. Hutan ada banyak nyamuk, lintah, jalan kena hati-hati sabab takut tersandung akar atau tergelincir dan badan pasti rasa tak selesa kerana berpeluh.

Tapi tahukah anda bahawa alam semulajadi ciptaan Tuhan ini jika diterokai dan dihayati, ada banyak kelebihannya. Ia bukan setakat tempat tinggal flora dan fauna tetapi juga tempat untuk kita lebih bermuhasabah diri. Tempat untuk kita mengakui bahawa setiap ciptaan Tuhan tidak ada yang sia-sia. Masing-masing punya peranan tersendiri.

Bila kita masuk ke taman rekreasi hutan simpan atau tempat perkelahan air terjun, dalam pada kita takut, kita pasti juga teruja. Teruja untuk menikmati keindahan alam dan mengalami perkara baru dalam hidup.  Sambil kita menuju ke destinasi, perlahan-lahan tanpa kita tidak sedar, kita mula mensyukuri perkara-perkara kecil di sepanjang perjalanan. Kita kagum melihat pokok-pokok besar yang tumbuh gagah, kita gembira melihat pelbagai jenis bunga tumbuh mekar dan kita gembira kerana tiada pencemaran asap kenderaan melampau seperti di bandar.

Berdasarkan pada pengamatan kami sendiri, rasa lebih bersyukur bila masuk ke dalam hutan boleh diklasifikasikan kepada lima perkara.

  1. Keindahan Alam Semula Jadi: Anda dapat menikmati pemandangan pokok, sungai, flora serta fauna yang mungkin tidak ditemui di kawasan bandar. Keindahan semulajadi ini memberi ketenangan jiwa dan menyegarkan minda. Dalam pada masa yang sama, kita mensyukuri nikmat alam yang terpelihara dan rasa bertanggungjawab untuk memastikan ia sentiasa terpelihara.
  2. Udara Segar: Hutan biasanya menawarkan udara yang lebih bersih dan segar berbanding dengan kawasan yang lebih terdedah kepada pencemaran. Udara segar ini secara tidak langsung meningkatkan kualiti pernafasan dan memberi kesan positif kepada kesihatan. Kita boleh menghirup udara segar tanpa sekatan pelitup muka.
  3. Aktiviti Fizikal diri sendiri dan juga keluarga: Berjalan, mendaki, atau berbasikal di hutan adalah bentuk senaman yang sangat bagus. Aktiviti fizikal ini membantu meningkatkan kecergasan badan. Beriadah bersama keluarga di hutan juga boleh mengeratkan hubungan dan mencipta kenangan bersama yang barangkali akan dikenang sepanjang hayat.
  4. Ketenangan dan Kesejahteraan Mental: Suasana hutan yang tenang membantu mengurangkan stres dan kebimbangan. Ketenangan alam semulajadi dapat memberi kesan positif kepada kesejahteraan mental dan emosi. Jika anda tidak berani berjalan seorang diri, boleh sertai kumpulan lain yang ingin menuju ke tempat yang sama. Hati akan lebih yakin dan tenang.
  5. Kehidupan Liar dan Ekosistem: Anda mungkin berpeluang melihat pelbagai jenis haiwan dan burung dalam habitat semulajadi mereka. Mengenal pelbagai spesis baru. Ini memberi peluang kita untuk belajar tentang ekosistem dan pentingnya pemeliharaan alam. Dari sini, kita belajar menghargai dari sekecil-kecil binatang sehinggalah kepada dahan pokok yang bergayut cantik menjadi buai.

Kesemua perkara yang nampak biasa-biasa ini sebenarnya mampu membuatkan kita rasa lebih bersyukur bila masuk ke dalam hutan. Banyak perkara tersirat kita pelajari dari hutan dan kawasan berbukit ini yang mampu menjadikan kita hamba-Nya yang bersyukur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *