
Orang sering ucapkan, “Sabarlah…”. Sebenarnya mengapa kita perlu bersabar? Apakah ada sebab tertentu yang membuatkan kita kena perlu bersabar sama ada suka atau tidak? Apakah kelebihan bersabar ini terlalu banyak yang kita tidak tahu sebenarnya?
Sedang saya siapkan kerja online, tiba-tiba saya terjumpa satu artikel tentang, ‘Mengapa kita perlu bersabar?’ Dan bila baca apa yang dikongsikan, saya tertarik juga untuk kongsikan kepada anda apakah sebab-sebab penting yang memerlukan kita sebagai manusia untuk sentiasa bersabar. Dan sebab-sebab ini juga disertakan dengan kata-kata pengukuh dari Allah melalui Al-Quran. Dan bila saya baca firman Allah tentang sabar ini, saya faham, bukan suka-suka kita kena sabar. Ada sebab dan himmah tersendiri yang jika kita amalkan mendatangkan kebaikan kembali pada kita.
10 sebab mengapa kita perlu bersabar yang ada perlu tahu.
- Orang yang bersabar dilipatgandakan pahalanya – Sesungguhnya orang yang sentiasa bersabar atas takdir Allah, maka Allah akan melipatkan pahalanya sebagaimana yang disebut dalam surah Al-Qasas 28: 54 berbunyi:
“Mereka itu akan mendapat pahala dua kali disebabkan kesabaran mereka dan kerana mereka menolak kejahatan dengan kebaikan…” - Pertolongan Allah bersama dengan orang yang sabar – Allah taal mengaitkan pertolongan-Nya dengan sabar dan taqwa. Allah berfirman dalam surah Ali Imran 3: 125 bermaksud, “Jika kamu bersabar dan bertaqwa dan mereka (musuh) datang menyerang kamu dengan serta-merta, pasti Allah membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang memakai tanda.”
- Sabar dan taqwa adalah benteng yang kukuh – Sabar dan taqwa adalah perisai bagi orang Islam untuk melindungi diri dari tipu daya pihak musuh. Allah berfirman dalam surah Ali Imran 3: 120, “Dan jika kamu bersabar dan bertaqwa , maka tipu daya mereka tidak akan memudaratkan kamu sedikit pun. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan.”
- Sabar adalah tanda keimanan yang sebenar – Orang beriman diuji untuk melihat sejauh mana keteguhan imannya, dan sabar menjadi bukti kepercayaannya kepada Allah. “Dan sungguh, Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”
(Surah Al-Baqarah, 2:155) - Sabar membawa ganjaran tanpa batas – Tidak ada ukuran pahala bagi kesabaran kerana Allah sendiri yang akan membalasnya dengan cara yang tidak terhitung. Allah berfirman dalam surah Az-Zumar 39: 10 bermaksud, “Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang disempurnakan pahalanya tanpa batas.”
- Menerima salam daripada malaikat – Para malaikat memberi salam kepada orang-orang yang beriman kerana kesabaran mereka di dunia. “(Malaikat memberi hormat dan berkata), ‘Selamat sejahteralah atas kesabaran kamu, maka amatlah baik tempat kesudahan itu’.” (Surah Ar-Ra’d 13: 24)
- Mendapat curahan cinta Allah – Allah mencintai orang-orang yang sabar. Allah berfirman, “… Dan Allah sentiasa menyayangi orang-orang yang sabar.”
- Sabar membezakan antara orang yang beriman dengan yang lemah hati – Ujian menjadi medan untuk Allah menilai kekuatan iman seseorang. “Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga sedangkan belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang yang terdahulu sebelum kamu?”
- Sabar adalah amalan orang-orang yang mulia – Sabar adalah salah satu amalan yang mulia di sisi Allah. Allah berfirman dalam surah Asy-Syura 42: 43, “Sesiapa yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu termasuk perbuatan yang mulia.”
- Sabar melatih diri untuk redha dan bertawakal – kesabaran mengajar seseorang untuk menyerahkan urusan hidup kepada Allah dengan tenang. Allah berfirman, “Wahai anak kesayanganku! Kerjakanlah solat dan suruhlah ke arah kebaikan. Cegahlah perbuatan yang mungkar dan bersabar terhadap apa yang menimpamu. Sesungguhnya itu adalah antara perkara yang paling penting.” (Luqman 31: 17)
sabar ini sebenarnya tidak semudah diucapkan. Sebab, apabila kita ditimpa ujian pada masa kita tidak bersedia, kita tidak pasti, setakat mana kita mampu mempraktikkan ucapan sabar itu. Apa yang boleh kita lakukan adalah cuba sehabis baik untuk tetap bersabar dan membisikkan kata-kata penenang dalam diri. Ia bukan untuk orang lain tapi demi kebaikan diri kita sendiri pada waktu itu dan juga pada masa hadapan. Alasan-alasan dari firman Allah ini mengapa kita perlu bersabar, sangat perlu kita sematkan dalam ingatan dan hati bahawa Allah tahu apa yang terbaik untuk kita dan kita sebagai hamba-Nya kena banyak bersabar dan sangka baik dalam setiap takdirnya.

